Thailand panggil tiga pemain J-League ke King’s Cup 2022, jadi ancaman besar Harimau Malaya

1,221

Menjelang kejohanan King’s Cup 2022 yang akan berlangsung pada September ini, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah memanggil tiga orang pemain – Chanatip Songkrasin, Supachok Sarachat dan Chaowat Weerachat yang kini beraksi di J-League untuk memperkuatkan pasukan.

Keputusan yang dibuat ini jelas memperlihatkan keinginan pasukan Thailand untuk mengekalkan trofi di ‘rumah’ sendiri.


Ini akan menjadi ancaman yang besar kepada pasukan kebangsaan yang turut dijemput untuk menyertai kejohanan tersebut di samping Kyrgyzstan dan Bolivia.

Pemain no.1 Thailand, ‘Messi Jay’ Chanatip yang kini beraksi bersama juara bertahan J1, Kawasaki Frontale merupakan antara pemain yang perlu diberi perhatian oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon.

Kelincahan pemain ini di bahagian tengah mampu menghadirkan ancaman merbahaya ke kubu pasukan negara.

Pemain berusia 28 tahun tersebut sering diturunkan oleh pengendali kelab, Toru Oniki pada aksi musim ini termasuk ketika bertemu dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dalam saingan AFC Champions League (ACL) April lalu yang menyaksikan beliau membantu pasukannya membelasah bekas juara Piala AFC, JDT dengan 5-0.

Selepas 16 aksi bersama kelab tersebut, Chanatip telah berjaya mengumpul sebanyak 1,048 minit permainan.

Pengalaman beliau yang cukup luas selaku pemain utama pasukan Thailand akan menjadikannya sebagai salah satu senjata utama yang akan digunapakai oleh ketua jurulatih Gajah Perang, Alexandre Polking bagi membantu barisan serangan.

Di samping itu, bagi terus memperkuat bahagian serangan, Polking turut membawa masuk pemain muda yang semakin menempa nama di Jepun, Supachok yang sedang beraksi bersama Hokkaido Consadole Sapporo menerusi pinjaman dari Buriram United.

Supachok baru-baru ini melakukan kejutan selepas berjaya melakukan assist kepada salah satu gol yang dijaringkan oleh pemain tengah pasukan, Ryota Aoki untuk memberi kemenangan selesa 5-0 menentang Shonan Bellmare.

Kejayaan ini menjadikan Supachok sebagai pemain Thailand pertama yang berjaya melakukan assist pada aksi debut di J1.

Kelincahan pemain sayap berusia 24 tahun ini juga akan menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan negara.

Setakat ini, Supachok telah melakukan 18 penampilan bersama skuad kebangsaan Thailand dan berjaya menjaringkan lima gol.

Dalam pada itu, pemain pinjaman Cerezo Osaka, Chaowat yang turut dipanggil mampu mencipta sesuatu di bahagian tengah pasukan kebangsaan itu.

Beliau yang baru menyertai pasukan pada 1 Julai yang lalu masih belum diturunkan pada mana-mana perlawanan setakat ini.

Walaupun begitu, beliau mempunyai rekod pencapaian yang agak baik bersama bekas kelabnya di Liga Thailand.

Sebelum dipinjamkan, beliau sempat membantu pasukan BG Pathum United untuk beraksi cemerlang di peringkat kumpulan saingan ACL 2022.

Chaowat diturunkan pada lima perlawanan kumpulan serta berjaya membawa pasukan tersebut layak ke pusingan kalah mati menentang Kitchee United dari Hong Kong pada 19 Ogos ini.

Ketiga-tiga pemain ini akan menjadi penambahan terbaik untuk terus memperkuatkan pasukan jiran tersebut bagi memastikan mereka berjaya mempamerkan aksi cemerlang.

Tambahan pula, kejohanan King’s Cup ini akan menjadi medan pemanas badan terbaik menjelang aksi Piala AFF yang akan bermula pada Disember ini.

Barisan kejurulatihan dan pengurusan Harimau Malaya tidak boleh memandang mudah perkara ini dan seharusnya patut memastikan pemain yang bakal dipilih mempunyai kualiti tersendiri dalam menghadapi saingan yang kuat daripada negara-negara lain yang bertanding.

Mengikut ranking semasa, Malaysia berada di kedudukan terendah jika hendak dibandingkan dengan tiga buah negara lain yang akan bertanding di King’s Cup kelak.

Pan-gon perlu membuat pemilihan yang baik dan bukan sekadar tangkap muat bagi mempersiapkan sebuah pasukan yang mantap menjelang Piala Asia 2023.