Pakar bola sepak mahu Tan Cheng Hoe kekal sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya

167

Jika peminat dan segelintir pihak mahu ketua jurulatih skuad Malaysia, Tan Cheng Hoe dipecat segera selepas prestasi buruk Harimau Malaysia ketika saingan Piala AFF 2020 apabila tersingkir di peringkat kumpulan, namun ada beberapa pakar bola sepak tanah air yang mahukan sebaliknya.

Terdapat segelintir peminat yang benar-benar mengikuti perkembangan skuad kebangsaan juga tidak bersetuju sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk memecat Cheng Hoe.


Selain itu, bekas jurulatih skuad kebangsaan B. Sathianathan juga mempunyai pendapat yang sama iaitu kegagalan Harimau Malaya di Piala AFF bukannya salah ketua jurulatih seratus peratus sebaliknya ia melibatkan banyak faktor seperti ketiadaan beberapa pemain utama seperti Matthew Davies, Corbin Ong, Azam Azih dan Sumareh.

Tambah Sathianathan lagi, tempoh persiapan yang terlalu singkat juga menyukarkan Cheng Hoe lagi kerjanya untuk mempersiapkan barisan terbaik negara. Jelasnya lagi, pemain yang dibawa ke Singapura pada kali ini bukanlah skuad yang terbaik.

Manakala bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Peter De Roo pula merasakan bahawa Cheng Hoe dijadikan ‘kambing hitam’ atas keputusan buruk Harimau Malaya kerana berikutan terpaksa mengikut telunjuk pihak tertentu.

Tambahnya lagi, sepanjang empat tahun mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih daripada Nelo Vingada, Cheng Hoe berjaya membawa perubahan kepada pasukan Harima Malaya.

Bukan sahaja jurulatih dan pakar sahaja yang tidak bersetuju dengan desakan ramai yang mahu Cheng Hoe dipecat, tetapi bekas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha berkata kegagalan pasukan kebangsaan tidak patut dituding kepada Cheng Hoe sahaja sebaliknya ada faktor lain yang menjadi punca Malaysia gagal di Piala AFF.

Antara faktor tersebut adalah skuad negara sejak dari awal lagi sudah pincang dengan ketiadaan ramai pemain utama, hanya menyenaraikan 24 pemain dan mempunyai tempoh yang sangat singkat untuk membuat persiapan.

Masih ragu-ragu dengan kredibiliti Tan Cheng Hoe? Jom lihat rekod prestasinya sebelum menggalas tugas sebagai ketua juralatih Harimau Malaya.

Berjaya hasilkan Skuad Emas Negara

Bagi peminat yang baru mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia sejak beberapa tahun ini pasti tidak mengetahui bahawa Tan Cheng Hoe adalah pembantu jurulatih kepada Dato’ K. Rajagopal dari tahun 2004 hingga 2013 yang mana ketika itu gandingan kedua-dua jurulatih ini mereka telah berjaya menghasilkan sebuah pasukan yang cukup hebat.

Skuad kendalian Rajagopal dan Cheng Hoe berjaya mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Remaja AFC 2004 dan layak ke Kejohanan Remaja AFC 2006. Namun pencapaian paling gemilang buat duo ini adalah apabila Harimau Malaya berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan muncul juara Piala AFF 2010. Kejayaan itu membuatkan pasukan Rajagopal dan Cheng Hoe diberi jolokan Skuad Emas Negara.

Berjaya selamat dan jadikan Kedah Darul Aman FC sebagai gergasi Utara

Mungkin tidak ramai peminat tahu tetapi peminat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sangat mengingati jasa Cheng Hoe kepada pasukan kesayangan mereka. Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih KDA FC pada pertengahan musim 2014 bagi menggantikan Dave Mitchell yang diarahkan mengambil cuti susulan prestasi buruk di Liga Perdana Malaysia.

Walaupun hanya mempunyai tempoh yang singkat, namun beliau berjaya menyelamatkan KDA FC dari terjerumus ke tangga tercorot, malah berjaya membawa KDA FC sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dan suku akhir Piala FA.

Bermula musim 2015, beliau telah menerapkan falsafah bola sepaknya dan ia telah mendapat perhatian seluruh peminat bola sepak dalam negara apabila KDA FC ketika itu sangat terkenal dengan corak permainan ‘tiki-taka’ yang telah membawa mereka menjuarai Liga Perdana dan dinaikkan ke Liga Super untuk musim 2016.

Walaupun baru dinaikkan ke Liga Super, KDA FC mempamerkan permainan yang cukup berkualiti dan berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga. Malah pada tahun sama beliau berjaya membawa KDA FC menang Piala Malaysia dan dinobat sebagai Jurulatih Terbaik Tahunan Liga-M di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016.

Pada tahun 2017 Cheng Hoe terus mencorak pasukan KDA menjadi sebuah pasukan gergasi Utara apabila berjaya memenangi Piala Sumbangsih, juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia. Kejayaan bersama KDA FC telah menarik perhatian FAM yang kemudian melantiknya sebagai penolong jurulatih kepada Nelo Vingada, sebelum mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih selepas Vingada melepaskan jawatan.

Sejak mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, Cheng Hoe mempunyai rekod yang agak baik, namun sejak kebelakangan ini ramai yang melihat setiap keputusan yang dibuat oleh Cheng Hoe dikatakan bukanlah seratus peratus keputusannya sebaliknya seperti ada ‘tangan ghaib’ yang masuk campur dalam setiap keputusan.