Sukan catur atas talian bantu pemain kebangsaan tingkatkan kualiti permainan

126

Pasukan catur kebangsaan yang memenangi pingat emas dalam kategori berpasukan lelaki pada ASEAN University Games 2022 baru-baru ini berkongsi rahsia kejayaan mereka.

Menurut Amir Ghaazi Mohd Saprin, berlatih bermain catur atas talian menjadi kunci kejayaan mereka dalam meningkatkan kualiti permainan mereka dan juga melatih beliau dan rakan sepasukan membiasakan diri dengan pelbagai corak permainan.


Beliau pada masa sama juga berpendapat platform ini dapat menghubungkan pemain catur dari seluruh pelusuk dunia.

“Saya gemar bermain catur secara online kerana saya dapat bergaul dengan pemain antarabangsa. Platform atas talian adalah platform yang bagus dan kondusif untuk membiasakan diri dengan strategi pihak lawan.

Selain itu, saya juga memanfaatkan masa lapang saya untuk menganalisa semula kandungan berkaitan sukan catur yang saya kongsikan atas talian,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Rakan sepasukan Amir iaitu Emir Rusyaidi turut mengakui sukan catur atas talian menyumbang kepada peningkatan prestasinya.

Walaupun ada platform atas talian untuk pemain catur berlatih, Emir bagaimanapun berharap agar bakat-bakat muda berpotensi mendapat perhatian dan bimbingan.

“Buat masa ini kebanyakan bakat-bakat baru berumur lingkungan kanak-kanak. Bimbingan dan juga perhatian perlu diberikan bagi menyerlahkan lagi potensi mereka.”

Terdahulu, skuad catur kebangsaan Malaysia telah berjaya meraih empat pingat emas dan dua pingat perak dalam temasya sukan ASEAN University Games 2022 yang berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand baru-baru ini.