Cemerlang musim ini di MLS Next Pro, tiba masa panggil Wan Kuzain sarung jersi Harimau Malaya

1,420

Pemain Malaysia yang sedang bermain di MLS Next Pro, Wan Kuzain Wan Kamal meneruskan rentak cemerlang musim ini bersama St. Louis City SC 2 dengan menjaringkan gol menentang Vancouver 2 bagi membantu kelabnya menang 4-1.

Gol tersebut hadir pada minit ke-13 ketika pasukannya ketinggalan 1-0, apabila beliau bijak menggelecek penjaga gol sebelum menggegar jaring lawan dengan sepakan kaki kiri.


Ia merupakan gol keenam dalam semua perlawanan musim ini, dengan lima dalam saingan liga manakala satu lagi dalam kejohanan US Open Cup.

Wan Kuzain juga mencatat sejarah dalam MLS Next Pro apabila menjaringkan gol pertama kejohanan itu yang dilancarkan tahun ini.

Selepas sering diketepikan musim lalu ketika bersama Rio Grande Valley FC, beliau kini sering tampil dalam kesebelasan utama.

Musim ini, beliau tampil dalam 17 daripada 19 perlawanan liga untuk St. Louis City SC 2.

Sebelum ini, nama Wan Kuzain sering disebut-sebut untuk mewakili negara namun sehingga kini masih tiada perkembangan lanjut mengenai perkara itu.

Beliau pernah dipanggil untuk berlatih bersama-sama skuad B-23 menjelang Sukan SEA 2019 tetapi terpaksa diketepikan akibat masalah dokumentasi.

Mungkin ini adalah masa yang sesuai untuk Malaysia memanggil kembali pemain itu bagi memperbanyakkan lagi pilihan pemain negara.

Dengan kecederaan yang dialami oleh tonggak tengah negara, Syamer Kutty Abba, mungkin ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon boleh mempertimbangkan Wan Kuzain untuk menggalas tugas tersebut.

Selain daripada defensive midfielder, Wan Kuzain juga boleh bermain di posisi tengah lain dan kerap kali diturunkan sebagai right midfielder bersama kelabnya musim ini.

Kebolehannya yang versatil itu boleh memberi banyak pilihan untuk Pan-gon mencubanya di posisi yang berlainan.

Dengan kejohanan King’s Cup yang akan berlangsung September ini di Thailand, diikuti Piala AFF hujung tahun ini sebagai persediaan Piala Asia 2023, ia adalah medan yang sesuai buat Pan-gon menguji kesesuaian pemain itu dalam skuad negara.

Wan Kuzain juga pernah berkata beliau terbuka untuk mewakili Malaysia sekiranya diberi peluang satu hari nanti.