Gan Boon Leong tinggalkan legasi tidak ternilai dalam sukan bina badan negara

357

Dunia sukan negara dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh yang amat berpengaruh dalam sukan bina badan, Datuk Wira Dr Gan Boon Leong semalam pada usia 84 tahun akibat sakit tua.

Perkara itu disahkan oleh anaknya, Datuk Gan Tian Loo yang mengatakan bahawa bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.30 pagi di sebuah pusat jagaan.


Sebelum itu, Boon Leong telah dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan akibat lemah jantung di sebuah hospital tempatan.

Pemergiannya itu adalah satu kehilangan yang amat besar terhadap sukan bina badan kerana mendiang telah menyumbang banyak jasa dan keringat bagi menaikkan sukan tersebut di negara ini.

Beliau yang digelar ‘bapa bina badan negara’ pernah meraih gelaran Mr. Universe, Mr. Asia, Mr. Malaysia dan Mr. Melaka, serta pada tahun 2000 dianugerahkan gelaran Honorary Mr Universe.

Selepas bersara sebagai atlet beliau masih terus aktif dalam bidang bina badan dalam badan induk dan pernah menjawat beberapa jawatan penting di dalam dan luar negara seperti Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), Naib Presiden Persekutuan Bina Badan Asia dan Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Asia.

Beliau pernah menganjurkan pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa antaranya Kejohanan Bina Badan Asia pada 1987, 1993 dan 1994, Kejohanan Dunia Lelaki 1990, Kejohanan Klasik Pro Am ASEAN 1992 dan Bina Badan Komanwel pertama ketika Malaysia menjadi tuan rumah edisi 1998 dan Mr Universe pada 2000.

Beliau juga turut aktif melibatkan diri dalam persatuan tinju dan taekwondo, terutamanya di Melaka.

Bukan sahaja dalam bidang sukan, beliau juga merupakan seorang tokoh yang sangat berpengaruh di Melaka kerana pernah menjadi Exco kerajaan negeri selama tiga penggal.

Boon Leong juga aktif berkhidmat untuk rakyat dengan menjadi pengerusi beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Sumbangan beliau dalam menaikkan sukan bina badan di negara ini akan dikenang sampai bila-bila dan jasanya terhadap rakyat Melaka secara amnya akan terpahat dalam sejarah.