Dua bekas tunjang JDT kini bawa haluan masing-masing, terus kembangkan karier bola sepak

18,299

Bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora telah dikaitkan dengan beberapa kelab sekitar Asia Tenggara susulan pemergian dari pasukan Harimau Selatan.

Antara dua kelab besar yang disebut-sebut sebelum ini adalah gergasi Liga 1 Indonesia, Persib Bandung dan kelab ternama Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors.


Kedua-dua kelab ini telah menamatkan kontrak ketua jurulatih masing-masing sebelum ini selepas beberapa masalah yang dihadapi di dalam saingan liga domestik.

Namun, Persib telah menafikan kemungkinan untuk mendapatkan khidmat Mora bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas ketua jurulatih, Robert Alberts.

Robert Alberts difahamkan membuat keputusan untuk mengundurkan diri susulan daripada kegagalan membantu pemain naturalisasi Indonesia, Marc Klok mencapai prestasi terbaik.

Hal ini menguatkan lagi kemungkinan Mora akan menjadi ketua jurulatih Lion City Sailors yang terbaru bagi menggantikan bekas pengendali dari Korea Selatan, Kim Do-hoon yang dilepaskan oleh pihak pengurusan.

Tambahan lagi, menerusi posting yang dilakukan oleh Mora beberapa hari yang lalu, menunjukkan beliau kini berada di sekitar Singapura.

Sekiranya perkara ini terjadi, Mora dilihat mempunyai banyak kelebihan untuk membantu pasukan tersebut terus mendominasi Liga Perdana Singapura.

Lion City Sailors kini berada di tangga teratas liga dengan 45 mata, kemenangan 10-1 ke atas pasukan Young Lions baru-baru ini terus mengukuhkan lagi kedudukan pasukan ini.

Mora bakal bekerjasama dengan bekas ketua pasukan JDT dan juga kapten pasukan kebangsaan Singapura, Hariss Harun selepas meninggalkan Liga Malaysia.

Gandingan JDT dan Hariss sebelum ini telah berjaya membawa beberapa kejuaraan utama kepada pasukan termasuk menjuarai Liga Super sebanyak tiga kali berturut-turut.

Ini akan membantu pengendali berusia 43 tahun tersebut untuk mudah menyusaikan diri dengan Lion City Sailors yang turut memiliki ramai pemain bintang seperti penjaga gol Singapura, Hassan Sunny dan pemain sayap, Faris Ramli yang juga pernah bermain untuk PKNS, Perlis dan Terengganu di Liga M.

Selain Mora, seorang lagi tunjang utama JDT yang telah mengambil haluan sendiri adalah pakar analisis, Haydee Agras.

Haydee adalah antara tunjang utama kejayaan juara bertahan Liga Super tersebut menerusi khidmat beliau dalam menyediakan sekurang-kurangnya 300 laporan lengkap perlawanan setiap tahun.

Menerusi perkongsian terkini melalui posting akaun Instagram miliknya, beliau dilihat telah terbang ke negara asalnya, Sepanyol untuk menjadi penganalisis dan pengulas pada sebuah aksi La Liga di antara pasukan Celta Vigo dan Espanyol.

Bekas pemain futsal profesional ini diberi tanggungjawab oleh sebuah syarikat gergasi radio Sepanyol, La Cadena SER.

Untuk para penyokong JDT, melihat dua individu penting ini terus mengembangkan karier mereka merupakan satu berita yang menggembirakan dan penuh rasa kebanggaan.

Mora dan Haydee cukup dihormati di Malaysia selepas kehebatan mereka menerajui kejurulatihan JDT untuk membawa pasukan Harimau Selatan mencipta kejayaan demi kejayaan.

Antara sumbangan terbesar mereka adalah memastikan pasukan JDT berjaya mencipta sejarah untuk layak pertama kali ke peringkat kalah mati dalam saingan AFC Champions League (ACL) musim ini.