Pek Siah, Eei Hui calon terbaik jadi jurulatih beregu campuran Malaysia, masih tiada pengganti selepas 4 bulan

1,941

Sehingga ke hari ini, masih belum ada kata putus daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkaitan jurulatih beregu campuran negara yang bakal dipilih bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh pengendali Indonesia, Paulus Firman.

Penantian peminat badminton tanah air dijangka akan berakhir sejurus Kejohanan Badminton Dunia yang dijadual pada 21 hingga 28 Ogos tahun ini selesai.


Terdapat khabar angin yang mengaitkan dua bekas pemain, Lim Pek Siah dan Chin Eei Hui sebagai calon utama yang akan dipilih.

Hal ini berikutan perbincangan yang telah diadakan oleh Pengarah Kejurulatih Beregu BAM, Rexy Mainaky bersama kedua-dua individu ini.

Meskipun Rexy menafikan kesahihan perkara ini, namun dilihat kedua-dua mereka merupakan antara pilihan terbaik buat masa ini dalam membantu mengembalikan kegemilangan skuad beregu campuran negara.

Pek Siah dan Eei Hui telah bergiat aktif dalam bidang kejurulatihan sejurus selepas mereka bersara.

Selepas ditamatkan kontrak oleh BAM pada tahun 2019, Pek Siah telah dilamar oleh negara jiran, Singapura untuk mengambil tanggungjawab membimbing pasangan beregu negara tersebut pada Mei yang lalu.

Perkara ini menjadikan beliau jurulatih wanita pertama dari Malaysia yang berkelana di luar negara.

Tidak menunggu lama, beliau berjaya membimbing beregu campuran Singapura, Terry Hee dan Tan Wei Han meraih pingat emas pada temasya Sukan Komanwel 2022.

Ini jelas menunjukkan kemampuan beliau sebagai seorang jurulatih yang memiliki pengalaman serta kemahiran dalam memastikan kualiti pemainnya di tahap terbaik.

Terdahulu, Pek Siah juga merupakan orang yang bertanggungjawab dalam memastikan bekas pasangan beregu wanita utama negara, Vivian Hoo-Chow Mei Kuan berjaya meraih pingat emas di temasya Sukan Komanwel 2018.

Pencapaian ini menunjukkan kemampuan beliau dalam menghasilkan gandingan dan corak permainan yang berkualiti dan mampu menjulang pasangan beregu negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebagai seorang bekas pemain, Pek Siah pernah merangkul pingat emas dalam temasya Sukan Komanwel pada tahun 2002 di Manchester selepas beliau dan gandingannya, Ang Li Peng mendominasi saingan beregu wanita pada ketika itu.

Kontrak beliau bersama Persatuan Badminton Singapura (SBA) akan tamat pada bulan November dan Rexy perlu segera memanfaatkan peluang ini tatkala Pek Siah mengakui keinginan beliau kembali menabur bakti kepada negara.

Sementara itu, Eei Hui juga dilihat mampu meningkatkan kemampuan barisan kejurulatihan beregu campuran negara.

Beliau kini sedang aktif melatih pasukan beregu profesional yang tidak bernaung di bawah BAM termasuk juara Terbuka Korea 2022, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang juga merupakan antara sandaran utama negara di beberapa kejohanan besar seperti Sukan Komanwel.

Pemenang empat pingat emas Sukan Komanwel ini pernah dilantik sebagai jurulatih beregu campuran BAM dari tahun 2013 hingga 2019.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah berjaya membantu pasangan negara mencapai beberapa kejayaan membanggakan.

Salah satunya adalah ketika bekas beregu campuran utama, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying berjaya merangkul pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh kedua-dua jurulatih ini di dalam membimbing para pemain mencapai kejayaan di arena badminton antarabangsa membuktikan kredibiliti dan kemampuan masing-masing.

Rexy dan pihak pengurusan perlu segera mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha melahirkan lebih ramai pasangan beregu campuran negara yang mempunyai kualiti dan mampu bersaing di peringkat tertinggi terutamanya Sukan Olimpik Paris 2024.