Egy Maulana pintas rekod tiga pemain Malaysia dalam satu perlawanan!

2,284

Bintang Indonesia, Egy Maulana telah melakukan debut bersama kelab terbarunya, ViOn Zlate Moravce pada aksi menentang MSK Zilina di Slovak Super Liga.

Egy yang dimasukkan pada minit ke-19 bagi menggantikan pemain pertahanan, Denys Balan, berjaya mempamerkan aksi yang cukup baik menerusi satu percubaan tepat ke arah gol lawan sebelum dikeluarkan pada minit ke-83.


Pemain berusia 22 tahun ini mencatatkan 63 minit permainan pada aksi tersebut.

Minit permainan ini sekaligus mengatasi tiga pemain dari Malaysia yang pernah berkelana ke ViOn Zlate Moravce.

Pemain pertahanan Melaka United, Fadhli Shas serta pemain sayap Perak FC, Wan Zack Haikal adalah antara pemain Malaysia yang berpeluang bersama kelab Slovakia tersebut pada tahun 2011.

Namun, selepas beberapa bulan berada di sana, kedua-dua pemain ini gagal mendapatkan peluang untuk turun beraksi bersama pasukan.

Seorang lagi pemain Malaysia ketika itu adalah pemain Sabah FC, Irfan Fazail yang bermain di bahagian tengah.

Berbeza nasib dengan rakan yang lain, kebolehan Irfan berjaya mendapat perhatian dan kepercayaan daripada jurulatih ViOn Zlate Moravce untuk menurunkan beliau pada dua perlawanan walaupun hanya selama empat hingga lima minit sahaja.

Kejayaan Egy ini terus menunjukkan peningkatan demi peningkatan yang dihasilkan oleh pemain-pemain muda dari negara sekitar Asia Tenggara terutamanya Indonesia dan Thailand.

Sebelum ini terdapat pemain Malaysia yang diberikan peluang untuk beraksi bersama kelab di luar negara seperti Portugal, Belgium, Bosnia dan Jepun, tetapi malangnya, sebahagian besar daripada mereka gagal memanfaatkan peluang dan tidak dapat bersaing dengan pemain sedia ada.

Lebih menyedihkan, tidak ramai dari mereka yang berjaya kekal untuk masa yang lama kerana faktor-faktor tertentu.  

Sehingga ke hari ini, masih belum ada pemain muda negara yang dilihat menonjol dan berjaya mempamerkan aksi memukau ketika beraksi di luar negara.

Penyerang B-23 negara, Luqman Hakim yang bersama K.V. Kortrijk di Liga Belgium masih gagal mempamerkan konsistensi yang diinginkan kepada kelab dan juga sewaktu mewakili negara di beberapa kejohanan sebelum ini seperti Piala Asia B-23 2022.

Selain Egy, seorang lagi pemain muda Sang Garuda, Witan Sulaeman turut berjaya mendapat tempat bersama kelab Slovakia, AS Trencin.

Beliau telah diturunkan selama 16 minit pada aksi bertemu Ruzomberok yang berakhir seri tanpa sebarang jaringan.

Terdahulu, pemain pertahanan Indonesia, Asnawi Mangkualam dan Pratama Arhan turut mendapat tempat di liga tertinggi Asia.

Asnawi yang kini beraksi bersama kelab Ansan Greeners di Liga K2 semakin mendapat tempat selepas berjaya membuat 20 penampilan bersama pasukan musim ini. Beliau juga dikaitkan dengan gergasi Asia, Ulsan Hyundai baru-baru ini.

Barisan pemain muda berkualiti Indonesia ini akan menjadi ancaman yang cukup hebat kepada skuad kebangsaan pada masa hadapan.

Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan pembangunan pemain muda Malaysia turut berada di kelompok ini dan di dalam keadaan yang baik dan mampu memberi kesan positif kepada kebangkitan pasukan bola sepak Harimau Malaya di masa depan.