Damok jadi wakil tunggal negara di Moto3, debut PETRONAS sebagai ‘title sponsor’ di kejohanan Grand Prix

535

Grand Prix akan kembali menemui peminat di Malaysia pada tahun ini selepas dijadualkan bermula pada 21 sehingga 23 Oktober tahun ini.

Lebih manis, pelumba muda negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok muncul wakil tunggal negara selepas beliau berjaya mendapatkan wildcard entry dalam Kejohanan Dunia Moto3.


Beliau yang kini berusia 21 tahun berada dalam momentum terbaik selepas berjaya menduduki tangga kedua dalam saingan FIM JuniorGP Dunia ketika ini.

Damok telah menunjukkan aksi yang cukup memberangsangkan sejak kebelakangan ini menerusi beberapa kejayaan yang telah beliau kecapi.

Terdahulu, beliau telah berjaya menarik perhatian selepas berjaya menaiki podium buat kali ketiga musim ini ekoran daripada kejayaan meraih kedudukan ketiga di pusingan 5 Kejuaraan FIM JuniorGP Dunia di Litar Algarve, Portugal Julai lalu.

Kejayaan ini membolehkan beliau mengumpul 97 mata keseluruhan untuk berada di belakang pelumba dari Sepanyol, Jose Antonio Rueda yang mendahuli saingan kejuaraan dengan 178 mata.

Damok masih mempunyai baki tiga lagi pusingan selepas ini di Litar Misano, Aragon dan Ricardo Tormo.

Dengan prestasi terbaik ini, beliau dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk mempamerkan aksi perlumbaan yang mampu memukau mata para peminat pada kejohanan seterusnya, Moto3.

Pada masa yang sama, diharap dengan kehadiran wakil negara ini, lebih ramai peminat sukan permotoran dapat kembali untuk memeriahkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang telah sekian lama menyepi ekoran daripada pandemik COVID-19.

Tambahan pula, tahun ini merupakan kali pertama syarikat pengeluar minyak dan gas negara, PETRONAS menjadi title sponsor kepada kejohanan besar ini.

Grand Prix Malaysia PETRONAS akan menyajikan pelbagai pengisian sepanjang acara ini berlangsung selaras dengan matlamat SIC untuk mewujudkan Grand Prix pertama yang menggabungkan unsur budaya hidup dan perayaan di bawah satu bumbung.

Perkara ini sudah semestinya kembali membuka mata para peminat dalam dan luar negara terhadap kehebatan dan keunggulan SIC yang cukup dikenali di kalangan pencinta sukan permotoran antarabangsa.

Sejak sekian lama, kehadiran peminat di SIC cukup memberangsangkan setiap kali acara permotoran diadakan.

Bersempena dengan bulan Kemerdekaan, SIC sedang mengadakan promosi istimewa bermula hari ini sehingga hujung bulan ini.