Azeem terima penghargaan dipilih sebagai pembaca ikrar Hari Kebangsaan, tolak jadi atlet sepenuh masa untuk utamakan pendidikan

924

Pelari pecut muda negara, Azeem Fahmi telah dipilih selaku pembaca ikrar pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 penghujung bulan ini.

Ini merupakan penghargaan kepada seseorang atlet tambahan pula orang yang dipilih untuk membaca ikrar bersempena hari bersejarah tersebut bukanlah calang-calang.


Tambahan pula, Azeem merupakan seorang atlet yang masih muda namun semakin mendapat perhatian dari ramai pihak susulan kejayaan beliau memecah rekod kebangsaan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia baru-baru ini.

Larian bertenaga yang dilakukan oleh Azeem pada peringkat saringan membolehkan Azeem memecahkan rekod yang selama ini dipegang oleh bekas jaguh pecut negara Tenggara, Khairul Hafiz Jantan yang dicipta di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016.

Selepas enam tahun, pelari muda dari Perak ini berjaya memahat sejarah baru selepas mencatatkan masa 10.09 saat di Cali.

Peminat sukan di Malaysia semestinya mengharapkan agar prestasi ini dapat terus dipertingkatkan oleh beliau dari masa ke semasa.

Kejayaan Azeem bukan sahaja membuka mata masyarakat di Malaysia malah berjaya menarik perhatian di peringkat antarabangsa selepas beliau turut menerima beberapa tawaran untuk menjadi atlet olahraga profesional antarabangsa.

Azeem mengakui ada menerima tawaran untuk menjadi atlet profesional yang berpusat di Amerika Syarikat atau negara Eropah.

Namun, pelari pecut berusia 18 tahun yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini telah membuat keputusan untuk memberi tumpuan kepada pelajaran terlebih dahulu dan menolak tawaran menjadi seorang atlet sepenuh masa.

Tindakan ini harus diberi pujian sewajarnya tatkala Azeem menjadi contoh teladan yang baik kepada belia di luar dalam membuat pilihan masa depan.

Beliau tidak melihat kemewahan bergelar sebagai atlet profesional sebagai matlamat utama sebaliknya menunjukkan kematangan dalam mengutamakan pendidikan.

Dalam pada itu, setakat ini Azeem telah menerima sebanyak 10 tawaran untuk menyambung pelajaran di universiti utama yang berpusat di Amerika Syarikat.

Terkini, beliau baru sahaja selesai melakukan rundingan bersama Universiti Texas A&M yang sanggup menawarkan biasiswa penuh kepada atlet berpotensi besar ini.

Kini, Azeem perlu melakukan pilihan terbaik dalam memilih institusi yang mampu memberi kelebihan seimbang kepada beliau yang ingin terus memperkembangkan potensi sebagai pelari pecut di samping ingin cemerlang dalam bidang akademik.

Sebelum ini, Azeem pernah menyatakan kecenderungan beliau memilih sama ada Universiti Auburn atau Universiti Houston yang memiliki kelebihan masing-masing.

Walau bagaimanapun, dengan jumlah tawaran yang semakin meningkat, Azeem dan keluarga perlu kembali meneliti setiap kelebihan dan kekurangan terhadap pilihan yang dimiliki buat masa ini.

Meskipun Azeem memilih untuk mengutamakan pelajaran, pembangunan beliau sebagai seorang atlet muda dilihat tidak akan terganggu kerana kesemua universiti ini memiliki fasiliti dan kelengkapan sukan yang cukup baik dan berkualiti.

Peluang beraksi di kejohanan-kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Amerika Syarikat akan turut memberi impak yang besar tatkala persaingan di sana adalah sengit dan sangat mencabar.

Kesemua peminat berharap yang terbaik untuk Azeem dalam pada masa yang sama meletakkan impian yang tinggi untuk melihat atlet muda ini mampu menggalas cabaran untuk kembali menjulang nama negara di peringkat yang lebih tinggi.