Siapa kata perlu ada stadium sendiri jika mahu naikkan nilai sesebuah kelab?

3,282

Bola sepak dan stadium memang tidak boleh dipisahkan, oleh sebab itu ramai peminat yang mendesak kelab masing-masing untuk mempunyai stadium sendiri.

Di Malaysia hanya kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja yang mempunyai stadium sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang menjadi kebanggaan peminat Harimau Selatan.


Kebanyakan kelab di Liga Malaysia ketika ini hanya meminjam atau lebih tepat lagi menyewa dari pihak kerajaan negeri masing-masing dan bukannya milik mereka.

Ada yang mengatakan sesebuah kelab tidak akan maju atau tidak akan dapat menaikkan nilai kelab jika tidak mempunyai stadium sendiri.

Jawapannya? Ya dan tidak!

Tiada siapa betul, tiada siapa salah kerana tidak dapat dinafikan mempunyai stadium sendiri akan memberi banyak kelebihan kepada sesebuah kelab yang mana mereka boleh buat apa sahaja dengan stadium itu kerana milik mereka.

Bagaimanapun secara realistiknya, berapa banyak kelab di Liga Malaysia yang mampu mempunyai stadium sendiri? Jawapannya 90% kelab tidak mampu! Masalah gaji pun masih belum-belum selesai, jadi mana nak datangnya wang untuk bina sebuah stadium.

Wajib ke ada stadium sendiri? Tak wajib pun kerana kelab-kelab besar di dunia seperti Manchester City, Chelsea, Newcastle United, AS Roma dan Inter Milan juga tidak mempunyai stadium mereka sendiri, tetapi adakah nilai mereka rendah berbanding Manchester United? Sudah pasti tidak.

Perkara ini dibangkitkan oleh pemilik Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham yang berkongsi pendapatannya adakah nilai sesebuah kelab akan naik jika ada stadium sendiri.

Memberi contoh AS Roma yang merupakan sebuah kelab yang diapungkan di pasaran saham mempunyai nilai kira-kira RM2 billion, tetapi mereka masih menyewa/pajak dengan jangka masa panjang dengan kerajaan tempatan.

Perkara sama turut berlaku dengan kelab Chelsea, Newcastle United, Inter Milan dan Manchester City, malah ada juga kelab yang berkongsi stadium seperti AS Roma berkongsi dengan Lazio.

Sama juga seperti Kelantan FC yang berkongsi Stadium Sultan Muhammad IV bersama Kelantan United.

Jika kelab-kelab di Liga Malaysia mahu ikut jejak langkah seperti kelab-kelab di EPL dan Serie A, mereka sebenarnya tidak perlu pergi jauh untuk ‘belajar’, sebaliknya mereka boleh ikut contoh kelab di Liga M3 iaitu Real Chukai FC dan kelab di Liga M5 iaitu Kerteh FC.

Kedua-dua kelab ini telah menjalin kerjasama dengan majlis daerah masing-masing dengan menyewa/pajak dalam tempoh yang panjang.

Dalam kontrak tersebut, walaupun mereka hanya menyewa/pajak, namun mereka dibenarkan untuk mengubahsuai stadium untuk memberi nafas baru sekaligus menjadikan ia sebagai situasi menang-menang buat kedua-dua pihak yang mana kelab mempunyai stadium sendiri, manakala majlis daerah dapat jana pendapatan selain tidak perlu mengeluarkan kos untuk menyelenggara atau dibiarkan rosak.

Jika anda melihat di laman sosial Real Chukai, mereka telah membuat ubahsuai yang mana stadium itu menggunakan padang rumput sintetik yang mana mereka turut menyewakan padang itu kepada sesiapa sahaja yang ingin menggunakannya.

Selain menjana pendapatan dari penyewaan stadium, mereka turut menjana pendapatan dari perniagaan makanan, barangan kelab dan juga akademi.

Percaya atau tidak, setiap kali Real Chukai turun beraksi di laman sendiri untuk saingan Liga M3, Stadium Mak Chili akan penuh dengan penyokong The Anchors.

Sebuah lagi kelab adalah Kerteh FC yang kini sedang bersaing dalam Liga M5. Walaupun mereka bermain di liga bawah, namun pengurusan The Oilers boleh dikatakan lebih hebat dari sesetengah kelab di Liga Super.

Mereka telah menjalin kerjasama dengan majlis daerah yang mana kelab akan membina Kerteh Sports City yang mana ia akan menjadi hub untuk pelbagai sukan selain mempunyai pelbagai kemudahan seperti kedai, restoran dan juga hotel.

Banyak perkara lagi yang boleh dilakukan jika pengurusan kelab itu benar-benar mahu tingkatkan nilai kelab mereka. Dari membiarkan stadium di tempat sendiri terbiar menjadi hutan atau tempat kegiatan tidak bermoral, lebih baik mereka jadikan stadium tersebut sebagai home mereka, dan sudah pasti majlis daerah atau kerajaan negeri tidak akan keberatan kerana mereka juga akan menjana pendapatan.

Jadi kepada peminat bola sepak di luar sana, tidak perlu untuk anda desak kelab anda untuk bina stadium sendiri, jika kelab mempunyai kewangan boleh dipertimbangkan tetapi jika tiada kekuatan kewangan boleh buat cara lain.

Dalam erti kata lain, ‘nak seribu daya, tak nak seribu dalih’.