Peluang buat Kedah, Sabah dan Pahang dapatkan Sony Norde sudah terbuka

13,598

Sebelum ini ketika sesi dialog antara peminat bersama pengurusan dan ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah mendedahkan mereka tidak dapat menunaikan hasrat Aidil Sharin Sahak yang mahukan penyerang sensasi Sony Norde atas faktor kewangan.

Namun kini peluang tersebutnya sudah terbuka berikutan pasukan Melaka United FC kini dilaporkan sekali lagi berdepan masalah tunggakan gaji sekaligus menimbulkan persoalan nasib yang akan berlaku pada Sony Norde dan rakan sepasukannya.


Dengan situasi tidak menentu dalam skuad Hang Tuah ditambah dengan khabar angin yang mengatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) iaitu Datuk Seri Justin Lim sudah letak jawatan, ia pasti membuatkan ramai pemain mula ‘goyang’.

Sudah pasti ramai pemain yang sudah mula ‘mencari-cari’ pasukan baru untuk musim depan dan peluang ini seharusnya digunakan sebaik-baiknya untuk pengurusan KDA FC untuk ambil peluang ini untuk cuba dapatkan Norde.

Selain Kedah, Sabah FC dan Sri Pahang FC juga dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat Norde musim depan.

Semua sedia maklum skuad Hijau Kuning juga berdepan dengan masalah dibahagian serangan selepas tempoh pinjaman penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad dipendekkan menyebabkan Aidil terpaksa menggunakan Ronald Ngah Wanja seorang sebagai penyerang utama pasukan itu.

Walaupun mengalami kecederaan, Ngah Wanja masih lagi diturunkan dan ini menyebabkan beliau tidak dapat memberikan aksi terbaiknya.

Selain Norde, mungkin pihak pengurusan boleh dapatkan juga penyerang Ifedayo Olusegun yang merupakan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu bersama Selangor FC, untuk memperkuatkan barisan serangan.

Gandingan Ifedayo dan Ngah Wanja pasti akan membuatkan barisan pertahanan lawan berasa gerun seperti yang berlaku pada musim lalu apabila Kedah mempertaruhkan duo Kpah Sherman dan Tchetche Kipre musim lalu.

Dalam kalangan peminat Kedah sendiri terdapat dua pendapat berbeza iaitu ada yang mahu pengurusan tidak menyambung kontrak ketua jurulatih Aidil pada musim depan dan ada juga yang melihat tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Ada segelintir peminat yang mahu Aidil bertanggungjawab sepenuhnya atas prestasi ‘yo yo’ pasukan itu pada musim ini, dan ada juga berkata pengendali dari Singapura itu sudah pun membuat yang terbaik dan apa yang berlaku ketika ini adalah kesan dari rombakan besar-besaran pasukan yang berlaku pada awal musim.

Aidil terpaksa membentuk semula pasukan dari ‘zero’ dan ia pasti akan mengambil masa untuk membentuk sebuah skuad yang ampuh seperti beberapa musim sebelum ini.

Peminat juga sudah mula menyuarakan hasrat mereka untuk melihat bekas ketua jurulatih Kedah dan juga Harimau Malaya iaitu Tan Cheng Hoe kembali ke Darul Aman.

Tambahan pula Cheng Hoe kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan sejak melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

Cheng Hoe juga sudah mengeluarkan kenyataan yang beliau sudah bersedia untuk membuat comeback dalam Liga Malaysia.

Beliau dedah masih belum terima sebarang tawaran rasmi dari mana-mana pasukan lagi walaupun kini sedang hangat dikaitkan dengan dua pasukan iaitu Selangor FC dan Perak FC.

Sebelum namanya dikaitkan dengan Selangor dan Perak, Cheng Hoe dilihat sering bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor dalam beberapa acara bola sepak di negeri Kedah sekaligus mencetuskan spekulasi yang beliau akan kembali ke Jelapang Padi.

Persoalannya kini adakah pengurusan KDA FC sudah mula ada perancangan untuk musim depan berikutan saingan liga hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi, atau pun mereka mahu fokus untuk habiskan musim 2022 terlebih dahulu sebelum atur strategi untuk musim depan.