Sarawak United dan tunggakan gaji berpisah tiada, apa yang pihak pengurusan buat?

359

Isu gaji melibatkan pasukan Sarawak United nampaknya masih tidak menemui jalan penghujungnya.

Terbaru, kelab itu dilaporkan gagal melunaskan tunggakan empat bulan gaji kepada para pemain sehingga pihak Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) terpaksa masuk campur.


Walaupun PFAM ada memberikan dua notis kepada pihak pengurusan Sarawak United, dan mereka memberitahu akan membayar tunggakan tersebut, sehingga kini ia masih tidak diselesaikan.

Apa yang lebih teruk lagi ialah, mereka terpaksa mengosongkan kediaman disebabkan pihak pengurusan tidak menjelaskan bayaran sewa.

Sebelum ini kelab itu pernah dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas gagal mematuhi tempoh untuk melunaskan bayaran seperti yang telah ditetapkan.

Selepas beberapa bulan sahaja masalah tunggakan gaji kembali menghantui kelab itu semula.

Persoalannya, apakah yang dilakukan oleh pihak pengurusan yang diketuai oleh presiden, Datuk Poja Majais sehinggakan tunggakan gaji mencecah empat bulan?

Selain presiden Sarawak United, beliau juga merupakan orang kuat dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), memegang jawatan naib presiden.

Sekiranya beliau tidak mampu menjaga kebajikan pemain-pemain Sarawak United, bagaimana beliau mahu melakukan tugas yang baik di FAM?

Sekiranya jawatan-jawatan yang disandangnya dalam persatuan dan kelab bola sepak satu beban yang berat, mungkin beliau patut meletakkan Sarawak United sebagai keutamaan memandangkan para pemain kini kehilangan sumber rezeki buat keluarga mereka.