Pemain Melaka United FC juga boleh dapat bantuan MFL jika buat laporan rasmi seperti pemain Sarawak United FC

372

Selepas berita mengenai pemain dan pegawai Sarawak United FC tidak mendapat gaji selama empat bulan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), ramai yang marah terutamanya peminat Sarawak sendiri.

Beberapa pemain termasuk pemain import Sarawak United iaitu Boris Kok juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung masalah tunggakan gaji yang menyebabkan beliau kini kandas di Perancis selepas menyambut kelahiran cahaya matanya.


Susulan masalah tunggakan gaji, Presiden Sarawak United iaitu Datuk Poja Majais telah memberi jaminan akan menyelesaikan semua tunggakan gaji selewat-lewatnya minggu depan selepas peruntukan untuk pembayaran gaji sudah diluluskan.

Bagaimanapun pihak Malaysian Football League (MFL) lebih proaktif apabila membuat keputusan untuk menyalurkan RM100,000 bagi membantu pemain dan pegawai pasukan yang terjejas.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-4 Bagi penggal 2021-2025 yang dipengerusikan oleh Presiden MFL iaitu Dato’ Ab Ghani Hassan.

RM100,000 itu bukanlah wang dari poket MFL sendiri, sebaliknya memotong dana hak penyiaran pasukan itu.

Wang tersebut akan diberikan kepada PFAM yang akan menyalurkan pembayaran kepada pemain dan pegawai yang terjejas.

MFL turut mengarahkan Sarawak United untuk menyelesaikan tunggakan gaji dalam tempoh 14 hari berkuatkuasa hari ini dan jika gagal, tindakan susulan akan diambil yang mana slot Piala Malaysia mungkin akan ditarik balik.

Keputusan ini telah menjadi sinar harapan buat pemain dan pegawai pasukan Melaka United FC yang turut berdepan masalah sama ketika ini.

Mereka juga boleh meminta bantuan MFL untuk memotong dana hak penyiaran pasukan untuk mendapat tunggakan gaji mereka.

Apa yang mereka perlu lakukan adalah dengan membuat laporan rasmi kepada PFAM untuk pihak tersebut dapat menyusulkan perkara ini kepada MFL supaya ia dapat dibawa ke Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

Ini adalah satu inisiatif yang baik oleh pihak MFL untuk membantu pemain dan pegawai pasukan yang berdepan dengan masalah majikan yang liat mahu membayar gaji.

Pemain dan pegawai juga perlu berani tampil untuk membuat aduan rasmi supaya MFL dapat bertindak bukan sahaja untuk bantu pemain dan pegawai yang terjejas tetapi juga pasukan yang berdepan masalah.