Bobie Farid harap tiada isu ‘tangan ghaib’, beri kesan kepada hala tuju ‘The Bos Gaurus’

915

31 Ogos akan menjadi tarikh akhir untuk kesemua kelab Liga Malaysia (Liga M) untuk mendapatkan status pelesanan dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Terdapat beberapa pasukan Liga Super bergelut melengkapkan prasyarat yang ditetapkan oleh pihak AFC.


Ini kerana, pasukan Sarawak United dan Melaka United sedang menghadapi masalah tunggakan gaji hampir empat bulan.

Salah satu daripada yang ditetapkan adalah tiada tunggakan bayaran terhadap sebarang aktiviti perpindahan serta tiada sebarang tunggakan bayaran kepada para pemain.

Para pemain Sarawak United telah berhadapan dengan masalah ini sejak beberapa bulan yang lalu dan perkara ini turut diakui oleh bekas pemain import, Boris Kok menerusi posting di akaun Facebook beliau.

Perkara yang sama berlaku kepada Melaka United yang dilihat semakin tempang, tewas besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0 tanpa kehadiran pemain import.

Berikutan situasi ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid berharap agar tiada unsur ‘tangan ghaib’ yang bakal membantu kedua-dua pasukan ini untuk terus selamat dan tidak berhadapan dengan sebarang tindakan undang-undang.

Sekiranya kedua-dua pasukan ini gagal menyelesaikan isu ini, slot Piala Malaysia berkemungkinan besar bakal dimiliki oleh Perak FC yang kini berada di tangga kesembilan Liga Perdana.

Namun, pasukan kendalian Yusri Che Lah tersebut perlu mencari kemenangan pada baki dua perlawanan liga musim ini menentang UiTM FC dan Kuching City FC.

Kuching City yang kini berada di tangga keempat liga bakal menjadi lawan terkuat yang perlu dihadapi oleh pasukan Perak FC menuju ke penghujung musim ini.

Keadaan semasa ini bukan sahaja memberi impak kepada peluang pasukan ke Piala Malaysia tahun ini, malah ia juga bakal menentukan hala tuju pasukan Perak FC sama ada akan layak ke Liga Super pada musim hadapan atau tidak.

Dari segi dokumentasi, kelab ini dilihat tidak akan menghadapi sebarang masalah tatkala mereka sudah menyelesaikan urusan pelesenan sebelum ini.

Selepas One XOX Sdn Bhd mengambil alih, pasukan Perak FC dilihat lebih menyakinkan meskipun berhadapan dengan beberapa siri kekalahan.

Kemasukan tiga pemain import baru, Stipe Plazibat, Luciano Guaycochea dan Sunday Afolabi pada Jun yang lalu sedikit sebanyak membantu mengembalikan rentak pasukan.

Bagaimanapun, mereka seharusnya  memberi fokus kepada baki dua perlawanan terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan untuk masa depan.

Pada perlawanan terakhir, pasukan Seladang telah tewas mengejut 3-1 di tangan pasukan Projek FAM-MSN kendalian ketua jurulatih, Hassan Sazali Waras.

Diharap agar tiada sebarang unsur berat sebelah yang bakal berlaku bagi memastikan Liga M dapat terhindar dari sebarang masalah intergriti.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen