JDT akan buat ‘kejutan’ skuad untuk musim depan?

7,380

Umum mengetahui juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan pasukan terhebat di Liga Malaysia yang mana mereka sentiasa mempunyai ‘kejutan-kejutan’ bukan sahaja kepada peminat.

Ketika JDT berada dalam perestasi terbaik di bawah kendalian Benjamin Mora selepas berjaya mencipta sejarah berjaya lepas peringkat kumpulan saingan AFC Champions League (ACL) dan akan berdepan dengan gergasi dari Jepun, Urawa Red Diamonds.


Bagaimanapun peminat Harimau Selatan dikejutkan apabila Mora meletak jawatan atas sebab peribadi dan ketua jurulatih dari Venezuela, Hector Bidoglio telah dilantik menjadi pengendali baru JDT.

Tindakan yang dilakukan oleh pengurusan tertinggi JDT mungkin agak pelik bagi kebanyakan peminat, namun tidak buat mereka kerana di JDT ‘tiada siapa lebih besar dari kelab’ dan segala keputusan dibuat adalah untuk kebaikan kelab.

Ketika ini juga sudah mula timbul beberapa khabar angin mengenai beberapa tonggak utama pasukan itu yang dikatakan tidak akan kekal bersama JDT pada musim hadapan walaupun beraksi dengan cukup cemerlang pada musim ini.

Antara nama yang disebut-sebut adalah pemain tengah Argentina, Leandro Velazquez dan penjaring terbanyak Liga Super musim ini dari Brazil, Bergson da Silva berikutan kontrak kedua-dua pemain ini akan tamat pada November 2022.

Sehingga kini masih tiada sebarang pengumuman lanjutan kontrak oleh pengurusan JDT untuk kedua-dua pemain itu.

Jika kontrak Velazquez dan Bergson benar-benar tidak disambuang ia pasti akan membuka peluang kepada pasukan lain untuk mendapatkan dua pemain prolifik ini.

Berdasarkan statistik untuk musim ini Bergson sudah pun membuat 13 penampilan dengan 1,099 minit permainan. Beliau juga berjaya menjaringkan 20 gol dan empat bantuan gol.

Manakala Velazquez pula sudah tampil dalam 11 perlawanan dengan 943 minit permainan termasuk menjaringkan tiga gol dan tiga bantuan gol.

Disebalik rekod cemerlang kedua-dua pemain ini, ia langsung tidak menjamin masa depan mereka berikutan Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera yang sebelum ini juga sedang berada dalam prestasi terbaik namun dilepaskan oleh JDT.

Mungkinkah ini adalah petanda JDT akan melakukan rombakan besar-besaran dengan membawa masuk ramai pemain import baru yang ternama seperti Papu Gomez dan Mesut Ozil, untuk menghadapi saingan musim depan berikutan penstrukturan Liga Super termasuk mengukuhkan pasukan untuk saingan ACL.

Pelbagai spekulasi akan timbul namun bagi mereka yang mengikuti perkembangan JDT dengan rapat mesti sedia maklum bahawa mereka boleh mengubah perancangan mereka dengan sekelip mata sahaja.

Jadi buat peminat yang nak tahu perkembangan JDT musim depan? Tunggu saja pengumuman dari pengurusan JDT.