Gandingan Chin Eei Hui, Lim Pek Siah mampu beri sinar baharu buat beregu campuran negara

419

Selepas berbulan-bulan bekas jurulatih beregu campuran negara, Paulus Firman meninggalkan posisinya di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kekosongan itu nampaknya masih belum diganti lagi.

Sebelum ini, BAM dilaporkan bakal membuat keputusan mengenai kekosongan itu sejurus selepas Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini.


Menurut laporan, dua bekas pemain kebangsaan iaitu Chin Eei Hui dan juga Lim Pek Siah adalah nama yang telah disenarai pendek bagi menggalas tugas tersebut.

Kontrak Pek Siah bersama Persatuan Badminton Singapura akan tamat pada November ini dan beliau dikhabarkan berminat untuk kembali menabur bakti di Malaysia.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai jurulatih bersama BAM sebelum ditamatkan kontrak pada tahun 2019, menyebabkan beliau berkelana ke Singapura.

Pencapaiannya bersama negara jiran itu boleh dibanggakan apabila beliau berjaya membimbing beregu campuran Singapura, Terry Hee-Tan Wei Han meraih pingat emas di Sukan Komanwel 2022 – pingat emas pertama negara itu dalam acara badminton di kejohanan tersebut.

Beliau juga pernah membimbing pasangan beregu negara, Vivian Hoo-Chow Mei Kuan meraih pingat emas di temasya Sukan Komanwel 2018.

Bagi Eei Hui pula, beliau kini aktif melatih beberapa pasangan beregu profesional negara seperti Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.

Beliau yang pernah bersama BAM dari tahun 2013 hingga 2019 merupakan individu yang bertanggungjawab membimbing pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membawa pulang pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016.

Mungkin adalah lebih baik buat BAM untuk menggabungkan kepakaran kedua-dua jurulatih ini untuk membimbing pemain negara.

Kedua-duanya mempunyai kehebatan tersendiri jadi ia boleh memberi manfaat yang lebih banyak buat pemain negara.

Memandangkan BAM kini sudah menunjukkan minat untuk mengambil bekas pemain kebangsaan sebagai jurulatih, mungkin sudah tiba masanya badan induk itu memanggil ramai lagi bekas pemain kebangsaan untuk menyertai mereka.

Malaysia sudah kehilangan beberapa jurulatih berbakat yang menabur bakti di luar negara seperti Lee Wan Wah dan Yap Kim Hock, jadi BAM harus memastikan negara tidak terlepas ramai lagi jurulatih berbakat yang lain.

Mereka juga sudah banyak berjasa untuk sukan badminton negara, jadi peluang untuk bersama badan sukan itu adalah salah satu penghargaan yang tinggi yang boleh diberikan kepada mereka.