Pemain ternama negara, juara Komanwel bakal meriahkan kejohanan badminton Malaysia Purple League

544

Ketua pegawai eksekutif Purple League Sports Management Sdn Bhd, Ho Khek Mong mengesahkan bahawa kejohanan badminton Malaysia Purple League tahun ini adalah lebih kompetitif berbanding edisi-edisi lalu kerana bakal disertai oleh bintang-bintang ternama.

Menurutnya, salah satu kelainan tahun ini ialah ia bakal disertai oleh empat pasukan luar negara iaitu Vietnam, Indonesia, Singapura dan Thailand.


“Beberapa pemain profesional tempatan ternama akan menyertai kejohanan kali ini seperti Goh Jin Wei, Shevon Lai, Goh Soon Huat dan Soniia Cheah.

Bukan itu saja, negara-negara lain juga turut menghantar pemain yang hebat contohnya Singapura akan turunkan juara beregu campuran di Sukan Komanwel baru-baru ini iaitu Terry Hee Tan Wei Han,”

katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Jana Santhiran berpendapat bahawa kejohanan seperti ini adalah satu inisiatif yang baik daripada pihak swasta dalam membantu kerajaan untuk melahirkan atlet-atlet yang hebat.

Beliau yakin kejohanan tersebut mampu menjadi medan buat peserta untuk meningkatkan lagi tahap permainan mereka dalam satu kejohanan yang kompetitif.

“Harapan pihak kementerian adalah supaya lebih banyak atlet dapat menyertai kejohanan seperti ini, supaya lebih banyak pilihan pemain yang kita boleh bawa ke kejohanan luar negara.”

Jana turut memuji usaha penganjur dalam mewujudkan satu pertandingan yang berprestij dan berharap lebih banyak syarikat swasta tampil melakukan insiatif seperti itu.

Kejohanan tersebut bakal berlangsung secara dua peringkat iaitu peringkat kumpulan serta pusingan akhir

Peringkat kumpulan yang melibatkan lapan pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan akan berlangsung secara round robin di Stadium Malawati, manakala pusingan akhir pula pada 8 dan 9 Oktober di Arena of Stars, Resort World Genting.