Kewujudan Skuad Elit Junior BAM mampu jadikan Justin Hoh lebih cepat ‘meletup’

941

Bagi mempercepatkan lagi perkembangan para pemain badminton remaja negara, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini mengumumkan pihaknya telah menubuhkan Skuad Elit Junior.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, skuad itu akan dianggotai oleh 14 pemain berumur antara 16 hingga 18 tahun dan diletakkan di bawah pemerhatian pengarah pembangunan BAM, Datuk Misbun Sidek.


Mereka juga akan dihantar menyertai kejohanan peringkat senior seperti yang dipraktikkan India, Thailand dan Korea Selatan.

Antara nama yang diletakkan dalam skuad itu adalah perseorangan lelaki berbakat besar, Justin Hoh yang baru sahaja menjuarai kejohanan Siri Antarabangsa Remaja India B-19 baru-baru ini.

Keputusan yang dilakukan oleh BAM itu dilihat satu tindakan yang tepat dan bijak terutama bagi Justin yang sememangnya dilihat sebagai prospek masa depan negara.

Beliau juga disebut-sebut sebagai pemain yang sesuai menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan ketiga negara berdasarkan prestasi beliau.

Dengan penubuhan skuad elit junior ini, ia semestinya akan meningkatkan lagi tahap permainan Justin dan mempersiapkan beliau untuk pentas yang lebih tinggi dalam masa terdekat.

Lebih-lebih lagi beliau bakal dibimbing oleh Misbun yang diketahui amat cemerlang dalam melahirkan pemain muda berbakat.

Mungkin sekali-sekala Justin boleh ‘dinaikkan pangkat’ untuk berlatih bersama skuad senior bagi membiasakan dirinya bermain dengan pemain lebih berpengalaman.

BAM juga kini sudah kekurangan pemain perseorangan lelaki untuk dijadikan ‘sparring partner’ buat Ng Tze Yong.

Memandangkan Skuad Elit Junior akan mempunyai peluang untuk dihantar ke kejohanan peringkat senior, ia pasti akan membuatkan pemain-pemain muda negara seperti Justin menjadi lebih matang dengan cepat.