Kedah ‘kacau’ Selangor dan JDT, borong 13 graduan AMD untuk musim depan

5,391

Kedah Darul Aman (KDA) FC muncul pencabar terbaru buat pasukan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC selepas mereka dikhabarkan telah ‘memborong’ 13 orang graduan daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Sebelum ini, Selangor dan JDT yang lebih kerap mengambil pemain-pemain muda daripada AMD untuk diserapkan masuk ke dalam pasukan mereka.


Pemain seperti Aysar Hadi dan Syahmi Adib telah membuktikan kemampuan mereka bukan sahaja bersama kelab malah telah membantu pasukan B-19 negara cemerlang di peringkat ASEAN.

Buat Kedah, kemasukan pemain-pemain ini bakal memberi nafas baru kepada pasukan tersebut sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Pemain yang dimasukkan oleh Kedah ini dijangka akan memperkuatkan skuad Piala Presiden kelab tersebut.

Piala Presiden KDA FC tidak melalui musim cemerlang tahun ini selepas perjalanan mereka terhenti di saingan kumpulan.

Daripada 10 perlawanan, pasukan tersebut hanya mampu berada di tangga kelima dalam Kumpulan A menerusi selepas empat kemenangan dan lima kekalahan.

Kehadiran pemain-pemain ini sudah semestinya akan memperkuatkan semula pasukan tersebut untuk kembali menjadi pesaing utama di kejohanan peringkat umur tersebut.

Situasi ini juga memberi petanda bahawa pasukan Kedah bakal memberi fokus dalam menggunakan khidmat pemain muda bagi saingan musim depan.

Berkemungkinan besar, ini adalah visi yang ingin dibawa oleh pemilik baru, Tan Sri Dr. Mohd Daud dalam memacu Kedah ke arah kegemilangan.

Tidak mustahil, graduan yang bakal dibawa ini boleh juga dimasukkan ke dalam skuad Liga Super sekiranya mereka berjaya mempamerkan aksi cemerlang.

Bagi musim ini, kita dapat lihat beberapa orang pemain muda skuad Sang Kenari seperti penyerang, Aiman Afif berjaya mendapat tempat.

Kemasukan pemain muda bakal membantu ketua jurulatih, Aidil Sharin untuk mencuba pendekatan permainan yang baru dalam memanfaatkan tenaga serta kreativiti yang dimiliki oleh mereka.

Sebagai contoh, pemain-pemain muda daripada AMD yang telah disambar oleh JDT sebelum ini telah berjaya membantu pasukan JDT FC II cemerlang di Liga Perdana.

Mereka juga berjaya membantu pasukan Piala Presiden JDT untuk cemerlang menjuarai saingan musim ini.

Tidak dapat dinafikan, tindakan Kedah di bawah pengurusan yang baru ini adalah pilihan yang tepat bagi membolehkan mereka kembali mencari rentak kecemerlangan.

Peminat sudah semestinya merindui pasukan kesayangan mereka yang cukup dikenali dengan kejayaan gah di Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini.

Semoga Dr. Daud serta barisan pengurusan yang lain mampu merangka strategi seterusnya dalam menjulang Kedah kembali ke tempat sepatutnya.