Dua nasib berbeza untuk dua orang Siti, apa punca sebenar kemorosotan prospek muda badminton negara?

1,059

Pemain perseorangan wanita remaja negara, Siti Nurshuhaini tewas di tangan pemain muda Jepun, Mihane Endo di peringkat 16 terbaik pada kejohanan Siri Antarabangsa Remaja Malaysia.

Lebih menyedihkan, pemain yang menewaskannya langsung tidak memiliki sebarang ranking di peringkat remaja mahupun dunia.


Kekalahan itu dianggap sebagai sebuah kejutan kerana Siti kini berada di ranking ke-43 remaja serta ke-211 dunia.

Perkara ini sedikit menimbulkan tanda tanya daripada ramai pihak tatkala Siti sebelum ini dilihat lebih menonjol dan boleh dianggap sebagai prospek besar untuk masa depan negara.

Namun, pada beberapa kejohanan baru-baru ini, Siti dilihat gagal menyerlah dan bergelut untuk mencari kemenangan.

Beliau setakat ini masih gagal mengulangi kecemerlangannya muncul naib johan di Kejohanan Antarabangsa FZ Forza April lalu.

Dua kejohanan besar sebelum ini memperlihatkan pemain muda tersebut kecundang seawal pusingan awal di tangan pemain dari Itali serta Indonesia.

Barisan kejurulatihan perlu kembali menganalisis kelemahan pemain tersebut yang menghalang pemain ini untuk terus beraksi cemerlang.

Pada masa yang sama, seorang lagi pemain muda, Siti Zulaikha mengalami nasib berbeza selepas beliau berjaya mara sehingga ke pusingan suku akhir pada kejohanan tersebut.

Meskipun perjalanannya berakhir di pusingan separuh akhir, namun Zulaikha yang kini berada di tangga ke-136 remaja dunia berjaya mempamerkan aksi yang cukup baik sepanjang kejohanan.

Pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus segera mengambil segala inisiatif yang termampu dalam membantu memastikan karier pemain remaja ini mampu berkembang secara positif dan sihat.

Kita sebenarnya memilki ramai pemain muda berkualiti yang berjaya menonjol di peringkat antarabangsa namun tidak dapat mengekalkan prestasi mereka selepas beberapa ketika.

Perkara ini yang menjadi kebimbangan peminat kerana dapat dilihat bahawa tiada kesinambungan yang baik daripada pemain pelapis negara ke dalam skuad senior.

BAM perlu memastikan pemain seperti Siti, Zulaikha dan Myisha Khairul dapat terus cemerlang sehingga mereka mampu menggalas cabaran selaku pemain utama negara di kejohanan senior satu hari nanti.

Perkara ini bagi membolehkan kita untuk berhenti meletakkan bebanan kepada seorang pemain sahaja pada satu masa.

Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong sering menjadi harapan tunggal negara di kejohanan-kejohanan besar.

Tekanan seperti ini sedikit sebanyak akan menjejaskan aksinya serta mengganggu fokus beliau dalam memberikan yang terbaik.

Malaysia juga masih mempunyai masalah dalam mencari pemain yang mampu mengisi kekosongan di bahagian perseorangan wanita utama negara yang telah sekian lama tidak mempunyai pemain yang cemerlang di kejohanan-kejohanan dunia.

BAM perlu mula mengambil tindakan dan bukan hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’ seperti yang berlaku selama ini.