Komitmen tinggi jadi kunci kejayaan pasukan wanita Melaka United kekalkan trofi PTSR kali kedua berturut-turut

164

Pasukan bola sepak wanita Melaka United berjaya memperoleh kemenangan minit akhir pada final Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR).

Mereka berjaya memperoleh gol pada minit ke-116 menerusi rembatan pemain sayap, Fatin Shahida yang menuju ke arah hujung gawang lawan.


Kelincahan Fatin di bahagian sayap terus menjadi senjata utama pasukan Melaka United pada perlawanan maalm ini (12 September) meskipun pemain cilik itu berhadapan dengan beberapa kecederaan ekoran daripada jadual padat kejohanan.

“Saya sudah memberi 200% walaupun dalam kecederaan yang saya alami buat masa ini.

Untuk final saya bertahan sehingga saya berjaya menjaringkan gol, hari ini adalah bertuah untuk say kerana dapat membantu pasukan mengekalkan kejuaraan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Fatin telah berjaya merangkul anugerah Pemain Terbaik PTSR 2022 menerusi aksi berkualiti yang dipamerkan oleh beliau sepanjang kejohanan ini.

Gandingan beliau bersama seorang lagi pemain sayap Melaka United, Jaciah Jumilis berjaya mengucarkacirkan pertahanan lawan untuk membawa mereka bangkit daripada kekalahan di perlawanan pertama.

“Saya tidak meletakkan sasaran untuk MVP sebenarnya, saya gunakan pengalaman saya sebagai seorang pemain futsal selama ini.”

Jelas sekali pengalaman yang dimiliki oleh pemain-pemain senior Melaka United seperti Fatin serta Steffi Sidhu memberi kelebihan yang besar kepada pasukan.

Kemenangan ini membantu pasukan Melaka United mengekalkan trofi yang berjaya dimenangi oleh mereka tahun 2019.

2019 merupakan kali terakhir PTSR diadakan sebelum ia terpaksa dibatalkan selama dua tahun berturut-turut ekoran daripada penularan wabak COVID-19.

Ketua jurulatih, S Ganesan Pillay berbangga dengan pencapaian anak buahnya yang terus menerus memberi aksi berkualiti dalam kejohanan ini.

“Terima kasih kepada pihak media, bila juara semua gembira cuma untuk makluman kita memang datang ke PTSR untuk mempertahankan kejuaraan pada tahun 2019.

Rata-rata pemain kita adalah muka baru, kita serapkan jadi dalam perlawanan akhir ini mereka berjaya memberikan komitmen tinggi untuk bermain bersungguh-sungguh.” kata Ganesan.

Ganesan berjaya mencipta gandingan baik di antara pemain senior dan junior dalam mewujudkan sebuah pasukan yang kuat dari segala aspek.

“Pemain muda mungkin sedikit kurang dari segi pengalaman, namun komitmen mereka begitu tinggi.

Peluang latihan bersama pemain pengalaman berjaya membina kerjasama pasukan yang kuat di dalam pasukan Melaka United.”

Pada perlawanan akhir ini, Melaka United dilihat lebih mendominasi perlawanan dengan gerakan-gerakan merbahaya yang berjaya dicipta namun tidak berhasil menerjah jaring lawan.

Fatin muncul wira pasukan menerusi kelincahan beliau di minit akhir untuk menghadiahkan kegembiraan kepada para peminat.

Kejayaan menjadi juara PTSR membolehkan pasukan Melaka United membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000.