Bola sepak wanita sudah semakin berkembang, fikiran netizen pula masih sempit

463

Walaupun bola sepak wanita di negara ini semakin mendapat perhatian, terdapat sebilangan pihak yang masih lagi berfikiran negatif mengenai kaum hawa dan sukan itu.

Baru-baru ini, sebuah akaun Twitter, @nocontextbolamy memuatnaik Instastory oleh Women’s Social Futsal & Football Malaysia (WSFM) mengenai kurangnya perhatian yang diberikan terhadap bola sepak wanita daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


Namun, hantaran itu terus mendapat kecaman ramai yang mempertikaikan kualiti bola sepak wanita dan ada juga yang merendah-rendahkan kaum wanita yang bermain bola.

Apa yang menyedihkan adalah, ada yang menggunakan kata-kata berunsur seksis seperti mengaitkan wanita dengan dapur.

Perkara ini amat menyedihkan di saat lebih ramai pihak yang semakin memberi perhatian terhadap pembangunan bola sepak wanita.

FAM sendiri serta persatuan-persatuan bola sepak negeri sudah mula melakukan inisiatif bagi meningkatkan tahap bola sepak negara walaupun lebih banyak lagi yang perlu dilakukan.

Sekiranya sikap dan perangai netizen masih lagi di tahap yang lama, sukar untuk bola sepak wanita bergerak ke hadapan.

Lihat sahaja negara jiran, Filipina yang pasukan bola sepak wanitanya berjaya melangkah ke perlawanan akhir dengan sokongan padu yang diberikan oleh pihak berwajib dan juga penyokong mereka.

Andai kata Malaysia mahu pergi jauh dalam bola sepak wanita, sokongan harus diberikan daripada semua pihak terutamanya dalam kalangan penyokong.