Hassan Sazali sudah bersedia dengan apa sahaja keputusan FAM

371

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-19 negara, Hassan Sazali Waras memberitahu beliau sudah bersedia menerima apa sahaja keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai nasibnya selepas gagal membawa skuadnya layak ke Piala Asia B-20.

“Saya berserah kepada pihak FAM sepenuhnya dan saya akan menyiapkan laporan penuh dalam masa terdekat ini untuk diserahkan kepada FAM mengenai apa yang kita lalui sejak dari peringkat permulaan hingga ke kelayakan Piala Asia B-20.

Jadi mengenai kedudukan saya, saya serahkan kepada pihak teknikal FAM untuk buat keputusan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian selepas Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menyatakan bahawa nasib pengendali skuad Harimau Muda itu akan diketahui selepas Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan menilai laporan daripada Hassan Sazali.


Terdahulu seluruh peminat bola sepak tanah air meletak harapan menggunung terhadap skuad bimbingan Hassan Sazali selepas mereka berjaya menjulang trofi Piala AFF B-19 di Jakarta baru-baru ini.

Namun harapan untuk melihat Harimau Muda untuk mengikut jejak langkah ‘si abang’ (skuad senior) layak ke Piala Asia tidak kesampaian apabila mereka hanya menduduki di tempat ketiga dalam Kumpulan E.

Harimau Muda bermula dengan langkah kiri apabila hanya sekadar seri 1-1 dengan Mongolia, menang 3-0 ke atas Sri Lanka dan dibelasah Korea Selatan 6-2 menyebabkan mereka tersingkir sekaligus tidak layak ke Piala Asia B-20.

Dalam pada itu, Hassan Sazali yang juga merupakan ketua jurulatih skuad Projek FAM-MSN yang beraksi di Liga Perdana pada musim ini berkata beliau lebih selesa sebagai jurulatih pembangunan.

“Bagi saya, saya adalah jurulatih pembangunan, jadi saya lebih berpuas hati dapat melahirkan pemain-pemain yang boleh beraksi dalam skuad kebangsaan.”

Sementara itu, Hassan Sazali yang ditanya mengenai jurang di antara pasukan dari Asia Tenggara dengan pasukan dari Asia lain seperti Jepun, Korea Selatan, UAE dan lain-lain berkata beliau tidak melihat terdapat jurang yang besar di antara pasukan di rantau Asia.

“Tak ada beza pun. Jika ada pun ia semua bergantung kepada persiapan sesebuah pasukan itu sebelum menghadapi sebarang perlawanan atau kejohanan.

Di antara kualiti pemain kita dengan kualiti pemain Korea Selatan saya tidak nampak perbezaan yang terlalu jauh dari segi kebolehan teknikal, cuma mungkin persiapan Korea Selatan lalui lebih rapi berbanding kita.”

Hassan Sazali berharap pemain-pemain muda negara akan mendapat peluang pendedahan beraksi di luar negara terutamanya di Korea Selatan atau pun Jepun kerana Malaysia mempunyai banyak pemain berkualiti tetapi tempat untuk beraksi terhad.