Pamer dominasi dalam Sukma XX, 2022 tahun cemerlang buat Johor dalam arena sukan

3,113

Selepas tujuh hari berlangsung, kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) XX sudah sampai ke penghujungnya apabila akan melabuhkan tirainya esok (24 September 2022).

Johor kini sedang mendahului carta Sukma XX dengan 69 pingat emas, jauh mendahului Wilayah Persekutuan di tangga kedua dengan 41 emas.


Kutipan itu jauh melebihi sasaran awal 40 pingat emas yang ditetapka, serta menghampiri sasaran baru 70 emas yang diumumkan ketua kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri beberapa hari lalu.

Johor kini di landasan tepat untuk menjadi juara keseluruhan buat julung kalinya, pencapaian terbaik mereka sebelum ini adalah muncul naib juara pada 1992 ketika ia menjadi tuan rumah.

Dengan pencapaian itu, tahun ini boleh dikatakan sebagai tahun gemilang buat sukan di Johor ditambah dengan pelbagai kejayaan lain terutama dalam bola sepak.

Musim ini, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah merangkul Piala Sumbangsih serta Piala FA dan kini semakin hampir dinobatkan sebagai juara Liga Super berbaki lima perlawanan lagi.

Dalam saingan Liga Perdana pula, JDT II kini hanya menunggu perlawanan terakhir pada 30 September ini menentang Selangor FC II untuk disahkan sebagai juara liga.

Skuad muda JDT III juga turut mengharumkan bola sepak negeri itu selepas menjadi juara Piala Presiden bulan lalu.

Bukan itu sahaja, pasukan JDT juga muncul juara kejohanan Weekend Warriors Ice Hockey League Julai lalu manakala di pentas e-sukan, pasukan GBX Esports Team yang ditaja oleh JDT turut mengharumkan nama negara dalam saingan Kejohanan FIFAe Club World Cup 2022 di Copenhagen, Denmark apabila mara ke peringkat 16 terakhir.

Ini menunjukkan pembangunan sukan di negeri Johor semakin meningkat dan ini sudah tentu bakal memberi manfaat yang besar kepada negara untuk memperbanyakkan lagi pilihan pemain untuk mewakili negara.

Sebelum pasukan JDT dan JDT II ‘bermain bunga api’, skuad Sukma Johor nampaknya akan berpesta terlebih dahulu pada 24 September ini apabila sah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukma XX.

Ini juga pastinya memberi tonik tambahan kepada negeri itu untuk mempertahankan kejuaraan dalam edisi seterusnya apabila bakal menjadi tuan rumah.