Tak perlu fasiliti bertaraf dunia untuk lahirkan pemain muda berkualiti

646

Nak cari pemain bola sepak berkualiti maka kenalah ‘lentur buluh biarlah dari rebungnya’ terlebih dahulu. Apa maksudnya? Maksudnya kita perlu mula cari dan latih pemain dari usia yang awal untuk gilap bakat mereka.

Antara usaha yang sedang giat dijalankan menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menerusi Akademi Tunas di setiap negeri telah memperlihatkan kejayaan yang agak signifikan dalam meningkatkan kualiti bola sepak negara dengan melatih pemain dari peringkat akar umbi.


Sumber foto: NFDP Facebook

Walaupun program NFDP ini tidaklah mempunyai fasiliti bertaraf dunia, tetapi program ini telah berjaya menghasilkan pemain bertaraf dunia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Setiap tahun NFDP akan menganjurkan Karnival Kebangsaan Akademi Tunas yang mana ia dijadikan sebagai tempat pemilihan pemain oleh NFDP untuk diketengahkan dalam pertandingan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pada tahun ini Akademi Tunas Perlis bawah 11 tahun dan Akademi Tunas Selangor bawah 12 tahun berjaya menjadi juara dalam kategori masing-masing dalam carnival yang berlangsung di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) baru-baru ini.

Sumber foto: NFDP Facebook

Sebanyak 28 pasukan yang mewakili 14 buah negeri dalam dua kategori umur telah berentap bagi merebut gelaran juara dan pasukan Perlis bawah 11 tahun dan Selangor bawah 12 tahun buktikan mereka adalah sebuah pasukan ampuh.

Bagi kategori bawah 11 tahun, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor dan Penang berada pada Top 5, manakala bagi kategori bawah 12 tahun pula Pahang, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang berada Top 5.

Sumber foto: NFDP Facebook

NFDP yang ditubuhkan pada tahun 2014 telah melantik jurulatih Lim Teong Kim untuk melatih bakat-bakat muda tempatan yang mana sepanjang khidmatnya, pelbagai kejayaan telah berjaya diperolehi menerusi program ini.

Teong Kim bukanlah nama yang kecil dalam dunia bola sepak dunia kerana sebelum bertugas di NFDP, beliau merupakan jurulatih untuk pasukan remaja Bayern Munich dari tahun 2001 hingga 2013 yang mana beliau telah melahirkan ramai bintang bola sepak terkenal Jerman seperti Toni Kroos, Philipp Lahm, Bastian Schweinsteiger dan Thomas Muller.

Bagaimanapun khidmatnya di NFDP tidak bertahan lama apabila timbul isu menyebabkan kontraknya ditamatkan. Kini Teong Kim kembali ke Jerman sebagai penolong jurulatih kelab Bayern Munich bawah 19 tahun.

Ini yang berlaku sekiranya ada campur tangan pihak luar terutamanya orang politik cuba ‘tunjuk pandai’ sedangkan tiada kelayakan langsung dalam dunia bola sepak. Ramai yang percaya sekiranya Teong Kim terus mengemudi NFDP, Malaysia bakal lahirkan pemain-pemain bertaraf dunia.

Sampai bila bola sepak negara hendak maju sekiranya masih ramai pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri? Tindakan drastik perlu dilakukan demi menyelamatkan maruah bola sepak Malaysia yang kini bahan ketawa bukan sahaja peminat di Malaysia, tetapi juga peminat bola sepak di luar negara terutamanya di rantau Asia Tenggara.