Kim Pan-gon sudah jangka perlawanan sukar menentang Tajikistan dan bangga dengan aksi pemain

5,072

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon memberitahu beliau sudah menjangkakan Malaysia akan berdepan perlawanan yang sukar menentang Tajikistan pada perlawanan akhir King’s Cup Thailand malam tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan lebih menyaksikan skuad Harimau Malaya tewas dalam penentuan sepakan penalti 3-0 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan tamat 90 minit permainan.


“Kita sudah jangka perlawanan akan menjadi sukar kerana kita berdepan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi dari kita selain mereka mempunyai kelebihan fizikal. Namun pemain negara telah memberi aksi persembahan yang bagus dari segi mental dan saya sangat bangga dengan aksi pemain.

Apabila masuk ke penentuan penalti, ia adalah cerita yang berbeza kerana sesiapa sahaja boleh menang atau kalah,”

katanya.

Tambah Pan-gon lagi, beliau tidak kecewa atau menyesal langsung dengan aksi pada malam tadi dan beliau kini mahu pandang ke depan untuk membuat persiapan menghadapi saingan Piala AFF pula pada hujung tahun ini.

Pada masa sama pengendali dari Korea Selatan itu juga tidak gemar untuk mengulas mengenai prestasi individu pemain, sebaliknya mengatakan pasukan bermain dengan baik sekali.

“Saya cabar pemain untuk buktikan kemampuan mereka menentang pasukan yang berada di ranking 109 dan mereka telah berjaya pamer aksi yang cukup menarik dan kami akan terus bergerak ke depan tanpa mengenang kekalahan pada malam tadi.”

Sementara itu, Pan-gon turut mengucapkan terima kasih dan sangat menghargai Ekor Harimau Malaya yang sanggup datang ke Chiang Mai, Thailand demi memberi sokongan kepada pemain negara.

Walaupun tewas, namun anak buah Pan-gon tetap dapat pujian apabila berjaya menjadi naib juara King’s Cup Thailand.