Diogo Luis Santo tak lagi beraksi di Thailand musim depan, peluang buat pasukan Liga Malaysia rekrut

2,087

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Diogo Luis Santo memberi bayangan bahawa musim ini bakal menjadi musim terakhirnya di Thailand bersama BG Pathum menerusi satu hantaran Instastory.

Beliau berhijrah ke negara jiran itu dari JDT pada 2020 selepas membantu JDT meraih dua kejuaraan liga dan Piala Sumbangsih serta satu kejuaraan Piala Malaysia.


Sebelum menyertai JDT, beliau telah beraksi di Thailand bersama pasukan Buriram United dengan rekod yang amat baik, 119 gol dalam 139 penampilan, menyebabkan beliau dianggap oleh sesetengah pihak sebagai penyerang import terbaik dalam sejarah liga tersebut.

Selama dua tahun di JDT, pemain berusia 35 tahun itu berjaya menggegarkan Liga Malaysia dengan 18 gol dalam 37 penampilan.

Dengan pengumumannya itu, beliau dijangka bakal menjadi antara pemain yang terhangat di pasaran sekitar ASEAN terutama Malaysia yang sememangnya begitu arif akan kehebatan pemain itu.

Hantaran Instastory Diogo mengenai masa depannya.

Beliau boleh dijadikan senjata berguna buat kelab-kelab tempatan yang masih bergelut dengan persembahan tidak memuaskan penyerang mereka seperti Selangor FC, Sabah FC dan juga Sri Pahang FC.

Penyerang Selangor ketika ini, Herlison Caion gagal memikat penyokong Gergasi Merah dengan persembahan yang tidak konsisten.

Jose Embalo pula masih gagal menampilkan aksi yang baik seperti yang diharapkan penyokong Sabah selepas menggantikan Neto Pessoa pada pertengahan musim.

Sri Pahang yang kini bergantung kepada Steven Rodriguez masih belum pasti akan terus mendapatkan khidmat pemain itu untuk musim depan kerana beliau hanya dipinjampak oleh kelab Colombia, Independiente Medellin.

Mana-mana kelab yang mampu mendapatkan tandatangan Diogo sudah tentu beruntung kerana kemampuannya tidak boleh diragui lagi.

Beliau juga pernah bermain di Malaysia jadi tiada masalah untuknya menyesuaikan diri dengan pantas.

Sekiranya diberi rakan sepasukan yang baik, sudah tentu beliau mampu menjadi igauan pertahanan Liga Malaysia sekali lagi.