Sarawak United FC patut ikut jejak Melaka United FC, lupakan Piala Malaysia dan fokus ‘perbaiki diri’ untuk musim depan

345

Setelah gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan mengikut tarikh ditetapkan, Melaka United FC disingkirkan daripada menyertai Piala Malaysia oleh Malaysian Football League (MFL).

Di sebalik berita sedih itu, Melaka United nampaknya mungkin akan ‘diselamatkan’ oleh Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang memberi gambaran bahawa mereka akan mengambil alih pengurusan kelab itu bermula musim hadapan.


Perkara itu bagaimanapun dilihat satu tindakan yang agak ‘pelik’ memandangkan liga telah menjalani proses penswastaan, di mana kelab dan persatuan bola sepak negeri harus dipisahkan sebagai dua entiti yang berbeza.

Sebagai penganjur Liga Malaysia, MFL sendiri harus menjelaskan perkara ini dan juga mengenai lesen yang diberikan kepada Melaka United walaupun tunggakan gaji berlaku setiap tahun.

Mengapakah Melaka United seringkali diberikan denda sahaja walaupun isu tunggakan gaji sudah menjadi barah dalam pasukan itu?

Sebuah lagi pasukan yang dibelenggu masalah sama sebelum ini, Sarawak United FC pula terselamat daripada terlepas slot Piala Malaysia setelah mereka akhirnya menyelesaikan tunggakan gaji pemain sehingga bulan Ogos.

Walaubagaimanapun, bekas ketua jurulatihnya, B Sathianathan mendakwa masalah tunggakan gaji pihaknya masih belum diselesaikan lagi serta kelab itu langsung tidak mencarum sebarang polisi insurans atas namanya.

MFL bagaimanapun berkata kedua-dua perkara itu adalah lain dan kes Sathianathan harus diselesaikan antara kedua-dua pihak terlebih dahulu.

Dengan masalah tunggakan gaji yang nampaknya masih belum selesai ini, mungkin Sarawak United harus mengikuti jejak langkah Melaka United untuk ‘berehat’ daripada Piala Malaysia musim ini.

Segala proses penyelesaian sudah pasti akan memakan masa dan mungkin boleh menjejaskan prestasi dalam padang.

Lagipun isu ini bukanlah baru bagi pasukan Sarawak United sehinggakan mereka pernah dikenakan denda oleh pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sendiri.

Apa yang terbaik mungkin adalah pihak pengurusan harus melakukan proses ‘overhaul’ dan terus melihat kepada musim depan supaya isu seperti ini tidak berlaku lagi.

Kelab itu juga baru sahaja mengumumkan penaja baru iaitu Murata Manufacturing (Sarawak) Sdn. Bhd.

Ini adalah masa terbaik buat mereka bangkit semula dan memastikan peminat bola sepak Sarawak terus menyokong pasukan itu, kerana nampaknya sudah ramai yang ‘fed-up’ dengan pihak pengurusan.