Gaji pemain Sarawak United sudah selesai sepenuhnya, pemain cuba beri yang terbaik untuk baki tiga perlawanan

302

Pertahanan Sarawak United, Raja Imran Shah mengakui bahawa masalah gaji yang sebelum ini dihadapi oleh pasukannya sudah beransur pulih.

Bayaran para pemain sebelum ini yang dikatakan telah tertunggak beberapa bulan telah berjaya diselesaikan oleh pihak pengurusan.


“Gaji pemain buat masa ini sudah diselesaikan dan tiada masalah buat masa sekarang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Perkara ini turut disokong oleh penjaga gol pasukan, Tauffiq Ar Rashid yang gembira dengan perkara ini.

Namun, beliau tidak ingin mengulas dengan lebih lanjut terhadap isu berbangkit melibatkan bekas ketua jurulatih, B Sathianathan.

“Isu pasal gaji Sarawak United untuk pemain kita semua sudah selesai.

Untuk bahagian lain, saya tidak berani untuk memberikan sebarang komen buat masa ini.” kata Tauffiq.

Tauffiq tidak diturunkan pada perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC malam ini (28 September) selepas beliau menghadapi kecederaan pada saat akhir.

Tempat beliau telah digantikan oleh penjaga gol berpengalaman, Sharbinee Allawee yang kurang bernasib baik pada perlawanan ini.

“Saya memang dari pagi tadi ada rasa sakit belakang jadi saya cuba untuk warm up tetapi saya tidak ambil risiko untuk pasukan.

Jadi saya jujur dengan jurulatih tentang keadaan saya.”

Pada masa yang sama, Raja Imran turut berasa kecewa dengan kekalahan yang dihadapi tetapi berjanji akan terus bangkit pada baki beberapa perlawanan selepas ini.

Pemain berusia 23 tahun tersebut merupakan salah seorang tonggak utama pasukan Kenyalang Emas.

“Ini bukan persembahan yang baik dari kita, kecewa tapi kita kena belajar dari perkara ini dan bangkit balik pada perlawanan selepas ini bertemu Sri Pahang.”

Pemain Sarawak United selepas ini perlu kembali mempamerkan kebangkitan sebagai hadiah terbaik buat penyokong setia mereka.

Diharap agar isu yang telah kembali selesai ini dapat menjadi pembakar semangat buat kesemua pemain menjelang saingan Piala Malaysia yang bakal menyusul selepas saingan Liga Super berakhir.

“Isu sebelum ini mengganggu tetapi sebagai pemain kita kena terus beri yang terbaik pada setiap perlawanan.

Saya rasa kita berjaya beri yang terbaik pada perlawanan sebelum ini tetapi banyak yang perlu diperbaiki.”