Ayuh rakyat Malaysia kita beri sokongan padu buat KL City FC di final Piala AFC 22 Oktober ini!

1,181

Semalam sejarah baru tercipta lagi dalam bola sepak KL City FC apabila mereka berjaya layak ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 selepas menewaskan FC Sogdiana Jizzakh dalam perlawanan akhir Antara Zon.

Walaupun diasak sejak minit pertama, namun anak buah Bojan Hodak berjaya mengekang setiap serangan dan ‘merantai’ pemain lawan sehingga berjaya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti yang mana KL City berjaya menang 5-3.


Penjaga gol Kevin Mendoza menjadi wira buat skuad The City Boys apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti kedua Sogdiana sekaligus memberi kelebihan buat pasukannya.

Kejayaan pasukan itu juga menyaksikan KL City menjadi pasukan pertama layak ke perlawanan akhir Piala AFC secara merit.

Tidak dapat dinafikan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga merupakan juara Piala AFC pada tahun 2015 juga layak ke perlawanan akhir tetapi mereka layak secara ‘percuma’ selepas kelab Al-Qadsia hilang kelayakan apabila Kuwait FA digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berikutan terdapat campur tangan kerajaan dalam urusan pentadbiran persatuan bola sepak.

Ketika itu perlawanan separuh akhir berjalan secara timbal-balik yang mana pada perlawanan pertama JDT tewas 3-1, namun nasib menyebelahi mereka apabila tidak perlu bermain dalam perlawanan separuh akhir kedua selepas kelab itu hilang kelayakan.

Pasukan ibu kota ini tidak diletakkan sebarang harapan langsung pada saingan Piala AFC musim ini berikutan mereka adalah sebuah pasukan kerdil yang mempunyai bajet terhad bagi saingan musim ini.

Malah sebelum ini juga KL City dikatakan belum bersedia untuk bermain di peringkat Asia berikutan berdepan kekangan kewangan, namun mereka telah buktikan bahawa dengan bajet kecil ditambah dengan pengurusan yang telus dan efisyen mereka berjaya capai kejayaan yang boleh dianggap seperti kisah dongeng.

Ketika itu ramai yang tidak menjangka bahawa mereka akan melepasi peringkat kumpulan, namun semangat juang tinggi setiap pemain berjaya bawa pasukan itu ke pusingan kalah mati.

KL City boleh dilabel sebagai giant killer apabila mereka berjaya tumpaskan kelab gergasi Indonesia; PSM Makassar, Vietnam; Viettel FC; India: ATK Mohun Bagan dan terbaru Uzbekistan; Sogdiana Jizzakh.

Tidak dapat dinafikan KL City adalah sebuah pasukan ‘pakar’ dalam saingan piala dan mereka telah membuktikannya pada musim lalu apabila menewaskan JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2-0.

Jika mereka berjaya julang trofi Piala AFC nanti, KL City berpeluang untuk bersama JDT beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) pada musim depan sekiranya mereka berjaya menang dalam perlawanan play-off ACL.

Oleh itu, ayuh rakyat Malaysia mari kita berikan sokongan padu buat pasukan KL City dengan turun ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 22 Oktober ini bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala AFC 2022.