Sarawak United FC & Melaka United FC mungkin boleh main di Liga M3 jika gagal rayuan lesen untuk main di Liga Super musim depan

356

Dua pasukan Liga Super iaitu Sarawak United dan Melaka United FC disahkan gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan selepas permohonan mereka tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL (Malaysian Football League) 2022.

Susulan itu, Sarawak United dan Melaka United tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super pada musim 2023.


Kedua-dua pasukan itu bagaimanapun masih diberi peluang oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) untuk membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari terhadap keputusan FIB iaitu sebelum 19 Oktober 2022 pukul 5.00 petang.

Keputusan itu telah diumumkan oleh Pengerusi FIB iaitu Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif yang turut mendedahkan sebab kedua-dua pasukan ini gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan.

“Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehinggan Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

Manakala Sarawak United pula gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes FIFA di mana keputusan telah dibuat oleh DRC FIFA terhadap bekas pemain iaitu Sandro Da Silva dan Taylor Francis,”

katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL iaitu Stuart Ramalingam pula berkata sekiranya ketiadaan Sarawak United dan Melaka United dalam saingan Liga Super musim depan tidak menjejaskan perancangan asal pihaknya.

“Betul kalau dua pasukan ini tidak mendapat lesen kita akan kekal dengan format 16 pasukan, sama seperti idea untuk musim 2024 di mana kita ada 16 pasukan sahaja.”

Stuart pada masa sama juga tidak dapat memberikan komen lanjut mengenai pasukan Sarawak United dan Melaka United berkemungkinan akan beraksi dalam saingan Liga M3.

“Berdasarkan format dan struktur liga kita saya tidak mempunyai kapasiti untuk komen mengenai kemasukan Sarawak United atau Melaka United dalam Liga M3 kalau jatuh dari Liga Super.

AFL (Amateur Football League) boleh membuat keputusan untuk menerima pasukan itu dalam saingan Liga M3 atau tidak.”

Sementara itu, 10 pasukan Liga Super lain berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan sekaligus layak bersaing dalam Liga Super 2023.

10 pasukan tersebut adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, PJ City FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Sabah FC.

Manakala enam pasukan Liga Perdana, Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, Perak FC, PDRM FC and UiTM FC turut berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super 2023.