Boleh atau tidak Sarawak United & Melaka United FC beraksi di Liga M3 bergantung kepada keputusan rayuan Lesen Kebangsaan MFL – Raimi Fakri

500

Ketua Pegawai Operasi (COO) Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri memberitahu pihaknya tidak dapat memberikan pengesahan lagi samada dapat menerima dua pasukan Liga Super iaitu Sarawak United FC dan Melaka United FC untuk beraksi dalam Liga M3 selepas kedua-dua pasukan itu gagal dapat Lesen Kebangsaan.

“Kita kena tengok dulu relegasi kepada Liga M3 itu macam mana sebab kalau kata automatik jatuh ke Liga M3 itu adalah secara merit tapi dalam kes seperti ini ada berlakunya isu-isu perlesenan AFL perlu berbincang dengan MFL terlebih dahulu.

Saya difahamkan mereka diberi ruang untuk membuat rayuan, jadi saya rasa persoalan samada boleh atau tidak main Liga M3 kita tunggu dan lihat apa yang berlaku selepas tempoh rayuan tamat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ia susulan pengumuman yang dilakukan oleh Pelesenan Kelab MFL (Malaysia Football League) First Instance Body (FIB) yang mengesahkan bahawa Sarawak United dan Melaka United tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super pada musim depan selepas permohonan Lesen Kebangsaan ditolak.


Raimi berkata pihak AFL sudah pun memaklumkan perubahan format Liga M3 pada musim hadapan yang mana format seperti liga biasa dengan 14 pasukan, namun mereka tiada masalah untuk melakukan perubahan jika perlu.

“Kita sudah pun war-warkan ada 14 pasukan yang akan bermain di Liga M3 tahun hadapan, tapi jika ada penurunan dari pasukan Liga Super ia akan bergantung kepada perbincangan AFL dengan MFL dan FAM juga samada ada ruang untuk main 16 pasukan atau kekal dengan 14 pasukan.”

Tambah AFL lagi, pihaknya juga melihat juga status kedua-dua pasukan tersebut samada mereka dibenarkan beraksi atau tidak kerana jika mereka mempunyai kes dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sarawak United dan Melaka United mungkin tidak akan dibenarkan beraksi walaupun di Liga M3.

Dari sudut positifnya, jika kedua-dua pasukan ini layak bermain di Liga M3 ia akan memberi kelebihan buat AFL terutamanya dari segi nilai komersial berikutan Sarawak United dan Melaka United mempunyai reputasi dan kelompok penyokong yang besar.

Terdahulu, FIB dalam keputusannya memaklumkan Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

Manakala Sarawak United pula gagal kerana tidak dapat penuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes FIFA di mana keputusan telah dibuat oleh DRC FIFA terhadap bekas pemain Sandro Da Silva dan Taylor Francis.