Roblox, FIFA lancarkan kerjasama wujudkan dunia bola sepak virtual dalam talian

415

Permainan video atas talian popular, Roblox mencatat sejarah tersendiri apabila bekerjasama dengan badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam mewujudkan satu platform bola sepak vitual.

Kerjasama yang baru dilancarkan itu akan membolehkan seluruh peminat bola sepak dan Roblox melayari kandungan permainan dalam talian dengan pemain-pemain lain, serta kandungan lain seperti video dan acara tertentu.


Ia turut memaparkan bintang muda Sepanyol dan Barcelona, Pedri dan pemain wanita Jerman dan Vfl Wolfsburg, Lena Oberdorf.

Ia juga akan meraikan kejohanan-kejohanan bola sepak terkemuka seperti Piala Dunia Qatar 2022, Piala Dunia Wanita 2023 dan lain-lain.

Menurut FIFA, kerjasama itu adalah sebahagian daripada komitmennya untuk membangunkan satu pengalaman bola sepak interaktif yang baru dan pelbagai untuk peminat.

Dengan kerjasama antara FIFA dan EA Sports bakal tamat selepas FIFA23, ini dilihat sebagai satu langkah proaktif FIFA dalam memastikan pengaruhnya dalam dunia permainan video terus wujud dan semakin berkembang.

Kerjasama ini pastinya satu kejayaan yang besar buat kedua-dua pihak terutamanya Roblox yang bukan diasaskan sebagai satu permainan bola sepak.

Sudah tentu selepas ini semakin ramai peminat bola sepak dunia yang tidak pernah bermain Roblox akan mula berminat dan memuat turun permainan itu.

Ia juga menunjukkan betapa besarnya pengaruh permainan tersebut sehingga mampu mengadakan kerjasama dengan badan induk bola sepak dunia itu.

Ia sudahpun dilancarkan pada hari ini, peminat Roblox atau pun bola sepak boleh merasai sendiri pengalaman itu di peranti pilihan mereka.