Jika Sarawak United FC sekali lagi dapat pasukan baru dan ‘rebrand’, mustahil untuk lihat mereka beraksi pada musim depan

2,268

Peminat pasukan Sarawak United FC kini sedang menghitung hari untuk melihat samada pasukan kesayangan mereka masih berpeluang untuk beraksi di saingan Liga Super pada musim hadapan atau akan terkubur.

Sarawak United kini mempunyai masa selama lima hari untuk membuat rayuan kepada First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan mereka untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada musim depan.


Bukan Sarawak United sahaja, Melaka United FC turut sama gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan dan salah satu puncanya adalah berdepan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Untuk peminat yang tidak tahu, Sarawak United sebenarnya adalah kelab bola sepak profesional berpengkalan di Shah Alam, Selangor iaitu Selangor United FC yang beraksi dalam saingan Liga FAM dan telah berjaya naik ke Liga Perdana pada musim 2019.

Manakala pasukan Sarawak FA pula ketika itu beraksi dalam saingan Liga M3.

Bagaimanapun apabila Selangor United berdepan masalah kewangan, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengambil keputusan untuk membeli pasukan itu sekaligus menjenamakan semula kepada Sarawak United FC.

Pada musim 2020 menyaksikan dua pasukan dari negeri sama iaitu Sarawak United dan Kuching City FC beraksi dalam Liga Perdana

Walaupun kempen Liga Perdana pada musim 2020 kurang memberangsangkan, namun mereka bangkit pada musim 2021 apabila mereka berjaya menjadi pasukan pilihan untuk memenangi saingan Liga Perdana pada musim ini.

Ia susulan pasukan itu memperkuatkan pasukan dengan beberapa pemain bintang seperti Norshahrul Idlan Talaha, Taylor Regan, Sharbinee Allawee dan Uche Agba yang telah menjadi tonggak utama dalam membantu pasukan itu menjadi naib juara sekaligus layak ke Liga Super pada musim ini.

Keinginan untuk bermain di liga tertinggi negara menyaksikan Sarawak United berbelanja besar untuk memperkuatkan pasukan supaya dapat beri saingan sengit kepada pasukan Liga Super lain, namun akhirnya ia telah memakan diri apabila mereka berdepan pelbagai masalah terutamanya tunggakan gaji.

Sarawak United juga kini mempunyai kes di FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) apabila gagal melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import mereka iaitu Sandro da Silva Sandro Da Silva dan Taylor Francis Regan.

Jika mereka tidak mampu menyelesaikan masalah itu, sudah pasti FIFA akan mengharamkan Sarawak United untuk beraksi lagi, tetapi jika mereka masih mahu beraksi dalam saingan Liga Malaysia mungkin mereka akan lakukan perkara sama seperti sebelum ini iaitu beli pasukan baru, tukar nama dan kembali dalam kancah bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, jika ia berlaku sekali pun agak mustahil untuk melihat pasukan itu beraksi pada musim depan kerana pelbagai perlu dipertimbangkan termasuk mendapat kebenaran daripada pihak Malaysian Football League (MFL).

MFL sudah pasti akan mengambil maklum mengenai perkara ini dan akan membuat pertimbangan serius sebelum menolak atau membenarkan pasukan ‘baru’ itu beraksi kerana mereka perlu pastikan masalah sama tidak akan berulang lagi.

Apa pun kita harapkan perkara seperti ini tidak akan berlaku, sebaliknya berharap Sarawak United tidak mengambil jalan pintas, sebaliknya menyelesaikan segala masalah tunggakan gaji termasuk perkara-perkara lain untuk memastikan kelab itu tidak terkubur.