K Devan belum mahu dabik dada terlalu awal, letak sasaran untuk mara ke suku akhir terlebih dahulu

217

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi sebelum bermulanya saingan Piala Malaysia.

Bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC, beliau percaya bahawa pasukannya perlu terus memberi fokus yang tinggi meskipun diletakkan sebagai pasukan pilihan bagi  pusingan 16 Piala Malaysia tahun ini.


“Buat masa ini, saya hanya fikirkan saingan dengan Kedah terlebih dahulu.

Kita hendak layak ke suku akhir sebagai objektif kita, mungkin selepas itu semangat pemain akan terus meningkat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pengendali berusia 61 tahun tersebut juga berharap agar pencapaian cemerlang di tangga keempat Liga Super musim ini dapat menjadi pembakar semangat buat para pemain untuk mempamerkan aksi cemerlang di saingan Piala Malaysia.

Sekiranya momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan, tidak mustahil pasukan Negeri Sembilan FC mampu mara dengan lebih jauh di dalam saingan tersebut.

“Setelah tamat saingan Liga Super, kita menduduki tempat keempat dan ini semestinya akan memberi keyakinan kepada pasukan.

Mereka boleh menilai keupayaan pasukan ini, ia akan membantu kita di saingan Piala Malaysia dan saya pasti pemain-pemain akan menunjukkan prestasi yang baik di saingan Piala Malaysia.”

Pada masa yang sama, beliau turut berharap agar tempoh persiapan yang dimiliki buat masa ini dapat digunakan oleh para pemain dalam usaha memperbaiki kualiti permainan mereka.

Pasukan Negeri Sembilan FC bakal membuka tirai saingan Piala Malaysia pada 25 Oktober ini selepas dijadual bertemu Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman pada aksi pertama pusingan 16.

“Kita tahu saingan Piala Malaysia mempunyai sejarah tersendiri dan pertandingan yang terakhir untuk musim ini.

Jadi saya rasa mereka boleh memberi fokus untuk pertingkatkan prestasi individu di saingan Piala Malaysia.”

K Devan hadir pada majlis menandatangani perjanjian Memorandom of Understanding (MoU) bersama UiTM yang telah dilangsungkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Perjanjian ini akan membantu menyediakan kepakaran serta fasiliti yang terbaik untuk membantu pasukan Negeri Sembilan FC dalam terus mempertingkatkan kualiti dan mutu pasukan mereka.