Gerard Casas kagumi kesungguhan Tengku Fahad sebagai pemilik Pahang Rangers FC

462

Ketua jurulatih Pahang Rangers cukup mengagumi kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan oleh pemilik kelab, YAM Tengku Fahad Mu’adzam Shah.

Kehadiran Tengku jelas berjaya menjulang pasukan Pahang Rangers menjadi antara kelab futsal yang cukup disegani di kancah liga Malaysia.


“Baginda sangat komited dan bukan sahaja seorang pemilik yang tidak mengetahui tentang realiti Tengku Fahad tahu segalanya tentang perkara yang berlaku di kelab.

Kalau tanpa Tengku, saya tidak akan berada di Pahang Rangers dengan begitu lama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Casas mempunyai dua pendapat terhadap pencapaian anak buahnya di dalam dua saingan yang telah berlangsung musim ini iaitu Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) serta Piala Futsal Malaysia.

Mereka cemerlang di dalam saingan MPFL selepas menyajikan aksi yang cukup memukau meskipun tidak dapat beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Tertutup SUKPA.

“Dalam MPFL saya berpuas hati dan gembira, kami bermain dengan pasukan muda yang tidak bermain di MPFL sebelum ini.

Kami juga bermain 100% di luar daripada Pahang, kami bermain 14 perlawanan dalam sembilan minggu, saya rasa kita patut berbangga kerana hanya kalah satu perlawanan.”

Namun, Casas sedikit kecewa bagi saingan Piala Futsal Malaysia selepas mereka terpaksa sekali lagi akur untuk berada di belakang juara, Selangor MAC.

Kehilangan tonggak utama, Abu Haniffa pada perlawanan akhir menyebabkan permainan mereka sedikit terganggu dan gagal mengekalkan pendahuluan.

“Untuk Piala Futsal Malaysia berbeza, kami ingin menang saya tidak akan berselindung.

Kami lalui kejohanan yang baik tetapi tidak pada 20 minit terakhir di final, kekurangan perlawanan dan perlawanan yang sengit menyebabkan kami kecundang di final.”

Pada masa yang sama, Casas juga tidak akan menolak sekiranya beliau ditawarkan untuk menjadi ketua jurulatih pasukan negara.

Selepas melalui tahun yang hambar, ada khabar angin akan berlakunya rombakan besar terhadap barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

“Sudah semestinya saya akan mengambil tanggungjawab untuk latih Malaysia jika ditawarkan, selepas hampir tiga tahun di sini saya rasa saya semakin memahami selok belok futsal di Malaysia.

Ia akan menjadi cabaran yang baik untuk saya.”

Beliau percaya bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan pasukan negara ke landasan yang tepat bagi bersaing di peringkat antarabangsa.

Jurulatih bukanlah punca terbesar bagi kegagalan yang dihadapi oleh pasukan Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Coach Yong tidak patut dipersalahkan sepenuhnya, saya rasa organisasi juga bertanggungjawab untuk itu. Kita tidak memiliki liga yang panjang, pembangunan akar umbi serta pemain profesional, jika kita miliki semua itu, pastinya pasukan kebangsaan akan bertambah baik.”