Dari dulu jurulatih sentiasa bertukar, pemain pun bertukar tapi pengurusan yang sama – Roslin Hashim

4,228

Bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim harap Datuk Misbun Sidek dan barisan kejurulatihan dikekalkan walaupun skuad junior negara mempamerkan prestasi hambar pada kejohanan dunia baru-baru ini.

“Seharusnya pihak BAM (Persatuan Badminton Malaysia) beri peluang kepada barisan kejurulatihan untuk terus membimbing skuad junior. Jangan bagi jawatan kemudian mahu terus dapat keputusan segera. Perkara ini harus dibincang terlebih dahulu dan tidak boleh buat keputusan secara terburu-buru,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Roslin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh yang berkata rombakan besar-besaran perlu dilakukan meningkatkan semula prestasi skuad junior negara.


“Kita bercakap berdasarkan kenyataan Datuk Kenny Goh yang meletakkan kegagalan ini di atas Datuk Misbun. Beliau sendiri mengatakan mahu rombakan jurulatih termasuk Misbun sekali. Bagaimanapun ramai peminat yang melempar balik kenyataan itu dengan mengatakan sepatutnya pengurusan yang patut dirombak.

Kenapa setiap kali kita gagal tak kiralah junior ke senior ke yang dipersalahkan jurulatih dan pemain. Sedangkan kalau kita lihat daripada dulu hingga sekarang pun jurulatih kita sentiasa tukar, pemain pun bertukar tetapi pengurusan yang sama, jadi dimanakah kesilapannya?.”

Beliau pada masa sama turut bersetuju apabila Misbun diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad junior kerana ia sangat sesuai dengannya, namun beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai apa sebenarnya yang berlaku dalam kem negara.

Tambahnya lagi, Misbun juga sudah membuat kenyataan mengenai kegagalan skuad junior yang mana beliau mengakui kelemahan ketahanan fizikal pemain menjadi punca utama mereka tidak dapat beri saingan.

Dalam pada itu, Roslin yang kini juga seorang jurulatih turut mempersoal samada Kenny Goh ada berbincang dengan Misbun bagi bertanyakan samada jurulatih itu ada membuat analisis pihak lawan sebelum membuat kenyataan barisan kejurulatihan gagal lakukan analisis pihak lawan.

“Adakah beliau sudah berbincang dengan Misbun sebelum buat kenyataan itu. Jika belum berbincang, macam mana beliau tahu yang Misbun tidak buat analisis tentang pihak lawan. Kalau beliau dah berbincang dan Misbun mengakui, maka ada sesuatu yang tak kena lah.

Saya rasa mustahil sebagai seorang jurulatih apabila beliau menjaga pemain-pemain ini sudah pasti beliau akan membuat analisis pemain lawan lebih awal lagi sebelum sertai kejohanan. Berbalik kepada kenyataan Kenny Goh yang dilihat seperti terus menuduh Misbun tidak buat analisis atau kerja. Jadi kita nak tahu adakah tuduhan yang diberikannya itu, adakah beliau sudah berbincang dengan Misbun.”

Sementara itu, beliau juga tidak mahu menyalahkan pemain yang didakwa terlalu selesa sehingga menjejaskan prestasi mereka, sebaliknya perlu melihat kemungkinan isu lain yang menjadi punca kemerosotan pemain negara.