Hari ini mungkin bukan hari Gustavo Almeida, yang penting hari ini kita bertahan dengan baik – K. Devan

178

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan tetap berpuas hati dengan pemainnya walaupun gagal meraih kemenangan dalam perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kedah Darul Aman FC (KDA).

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi berkesudahan tanpa jaringan, namun NSFC layak ke suku akhir dengan agregat 2-1.


Devan juga mengulas mengenai persembahan penyerang utama Gustavo Almeida yang gagal menyempurnakan tiga peluang keemasan termasuk sepakan penalti.

“Hari ini mungkin bukan hari Gustavo kerana biasanya beliau boleh jaringkan gol. Saya rasa beliau ada tiga peluang baik untuk beliau jaringkan gol tapi gagal.

Apa yang penting kita menghasilkan peluang untuk menjaringkan gol dalam masa yang sama kita bertahan dengan baik, kita clean sheet dan kita juga tidak memberi banyak peluang kepada pihak lawan.”

NSFC bakal bertemu Selangor FC di perlawanan suku akhir Piala Malaysia pada 6 November ini.

Dalam pada itu, Devan juga menyuarakan keyakinan pemainnya akan meningkatkan prestasi mereka apabila bertemu Selangor nanti.

“Setiap perlawanan berbeza jadi mungkin pada perlawanan dengan Selangor nanti mereka akan beraksi dengan lebih baik sama seperti yang ditunjukkan pemain pada perlawanan pertama menentang KDA sebelum ini.

Mungkin perlawanan malam tadi tidak sehebat seperti perlawanan pertama tapi menentang Selangor kita akan pamer aksi terbaik.”

Beliau juga percaya pasukannya mempunyai peluang menentang Selangor nanti kerana pada saingan Liga Super musim ini mereka belum tewas lagi.

Tambahnya lagi, kedua-dua pasukan mempunyai peluang 50-50 dan sama rata, oleh itu beliau akan mengatur strategi ampuh apabila berdepan Selangor nanti.