Senyap-senyap Sarawak United FC sudah hantar permohonan untuk sertai Liga M3 musim depan

1,570

Pasukan Sarawak United FC yang disingkirkan dari saingan Liga Super pada musim 2023 berikutan tidak mendapat Lesen Kebangsaan telah membuat permohonan untuk menyertai saingan liga amatur tempatan, Liga M3 pada musim depan.

Perkara itu didedahkan oleh satu sumber yang memberitahu Sarawak United telah pun menghantar permohonan itu kepada Amateur Football League (AFL) untuk dipertimbangkan.


“Ya, Sarawak United sudah menghantar permohonan untuk sertai Liga M3 musim hadapan. Permohonan itu akan diterima terus sebaliknya ia perlu melalui proses yang mana pihak AFL akan setiap aspek termasuk struktur kewangan sebelum membuat keputusan samada pasukan itu diterima atau tidak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tindakan pantas Sarawak United membuat permohonan secara senyap-senyap agak mengejutkan, namun memperlihatkan komitmen mereka yang tetap mahu bersaing dalam saingan Liga Malaysia bagi memastikan pasukan itu tidak terkubur.

Berbeza pula dengan Melaka United FC yang dikatakan masih lagi belum menghantar permohonan walaupun Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) membuat kenyataan mahu sertai Liga M3 pada musim hadapan dengan bajet sekitar RM6 ke RM7 juta.

Malah hari ini Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad dalam satu kenyataan turut mendedahkan nama baru pasukan itu yang akan dikenali dengan nama Harimau Melaka FC.

Dalam pada itu, sumber tersebut turut memberitahu bahawa setakat ini sebanyak tujuh daripada 14 pasukan telah mengesahkan akan bersaing dalam saingan Liga M3 musim depan.

Manakala baki tujuh pasukan lagi mempunyai tempoh sehingga hujung November ini untuk membuat pengesahan tempat.

Format Liga M3 pada musim depan telah dirombak kepada format liga biasa dengan tujuh pasukan teratas Kumpulan A & B musim 2022.