JDT dan tambahan pemain import bakal meriahkan saingan futsal musim depan

533

Saingan liga futsal di Malaysia tampak akan menjadi semakin meriah pada musim depan susulan daripada beberapa perubahan yang bakal berlaku.

Selain daripada penglibatan Johor Darul Ta’zim, kemasukan lebih ramai import dilihat akan menjadi antara tarikan utama untuk musim depan.


Ini berdasarkan kenyataan yang dikongsi oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkenaan penambahan kuota import bagi saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) bagi tahun 2023.

“Jawatankuasa telah bersetuju untuk satu kuota import terbuka dan kuota Asia untuk memeriahkan lagi saingan futsal lelaki negara.

Untuk kategori wanita, pihak jawatankuasa bersetuju untuk menperkenalkan satu kuota pemain import terbuka,”

katanya.

Untuk saingan musim ini, hanya satu kuota pemain import terbuka telah diberikan bagi kategori lelaki sahaja.

Dengan adanya penambahan seperti ini, liga futsal tempatan akan menjadi lebiih sengit dan menghiburkan.

Peminat futsal tanah air semestinya menanti-nantikan kemunculan semula pemain kesayangan mereka pada aksi musim depan yang bakal bermula seawal Februari.

“Saingan MPFL untuk kategori lelaki dijangka bermula Februari hingga Julai 2023, manakala untuk wanita bermula selepas Hari Raya Aidilfitri pada Mei 2023.

Lapan pasukan terbaik akan bermain dalam Malaysia Futsal Cup yang akan dijalankan selepas liga tamat serta memberi laluan kepada kejohanan besar AFC dan AFF.”

Selangor MAC dan Pahang Rangers dilihat akan kekal menjadi antara pasukan yang digeruni bagi kategori lelaki.

Dalam pada itu, semestinya banyak pihak yang ingin melihat kemampuan pasukan JDT musim depan samada mereka mampu mengekalkan kecemerlangan di arena bola sepak ke dalam sukan futsal.