Kalamullah beri ‘hint’ akan sertai sebuah kelab besar, ada terima tawaran daripada tiga kelab

1,159

Penjaga gol PJ City FC dan pasukan kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz terus menjadi antara pemain tumpuan menjelang jendela perpindahan musim depan tatkala kelabnya kini telah mengumumkan bakal menarik diri dari saingan Liga Super 2023.

Pada ketika ini, fokus Kalamullah hanya untuk memilih sebuah kelab yang lebih baik bagi membantu beliau dalam terus merebut tempat di dalam skuad negara.


“Sekarang saya sedang membuat perbincangan ke mana hala tuju, saya akan pergi pasukan yang bernama besar.

Senang untuk saya buat nama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau juga mengakui ada menerima tiga tawaran dari kelab-kelab di sekitar Malaysia.

Terdahulu, Kalamullah telah dikaitkan dengan beberapa pasukan ternama di Liga Malaysia seperti Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC serta gergasi pantai timur, Sri Pahang FC.

Namun, ketika ditanya beliau masih belum dapat memuktamadkan sebarang pilihan tatkala sedang melakukan proses perbincangan.

“Ada tiga pasukan yang membuat tawaran tapi buat masa sekarang saya belum membuat keputusan mana-mana lagi.

Di utara ada, di pantai timur juga.”

Dalam pada itu, Kalamullah yang berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan pada musim ini bersama PJ City telah disenaraikan antara 10 penjaga gol terbaik bagi merebut pengiktirafan pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan tahun ini.

Antara penjaga gol lain yang turut tersenarai adalah dua penjaga gawang Malaysia, Farizal Marlias dan Syihan Hazmi serta penjaga gol muda Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim.

“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana kita tahu daripada 10 penjaga gol semua terbaik terutama sekali Syihan yang sekarang berada di puncak.

Peluang dan rezeki akan ada cuma saya berharap undian daripada peminat.”

Kalamullah sebelum ini pernah dipanggil oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon ketika bersaing di kejohanan Thai King’s Cup 2022.

Beliau ketika ini masih menanti sekiranya khidmat beliau akan diperlukan untuk menggalas cabaran negara pada Piala AFF yang akan bermula bulan hadapan.

“Setakat ini, saya belum diberitahu sebarang maklumat kerana Piala Malaysia masih berjalan.

Saya juga masih menunggu keputusan untuk melihat nama siapa yang akan keluar.”

Musim ini, Kalamullah berjaya mencatatkan sembilan ‘clean sheet’ sepanjang beraksi untuk 21 perlawanan.

Statistik tersebut meletakkan beliau di tangga kedua penjaga gol di belakang Farizal yang cemerlang bersama Johor Darul Ta’zim FC.