Perak FC terus kerja keras dan kini berada di landasan tepat untuk jadi pencabar utama Liga Super musim depan

1,854

Peminat bola sepak tanah air semua sedia maklum dengan situasi yang dihadapi oleh Perak FC sebelum ini yang mana mereka hampir terkubur dek masalah kewangan, namun kini sudah kembali bangkit selepas diambil alih oleh syarikat telco XOX Berhad.

Sejak mengambil alih Perak, XOX tidak menunggu lama untuk membuat perubahan walaupun ketika itu pasukan mereka sedang beraksi dalam saingan Liga Perdana.


Pelbagai aktiviti dilakukan bagi menarik semula peminat ke stadium untuk memberi sokongan kepada skuad The Bos Gaurus dan strategi yang dilakukan mereka telah berjaya ‘memujuk’ semula peminat yang sebelum ini kecewa dengan pengurusan lama termasuk prestasi hambar pasukan.

Sebaik sahaja tamat saingan Liga Perdana, pihak pengurusan terus rancak membuat perancangan dan persiapan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim hadapan apabila mereka disahkan akan kembali beraksi dalam saingan Liga Super selepas Malaysian Football League (MFL) membuat penstrukturan liga.

Perubahan ketara yang dilakukan adalah melantik Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih yang baru bagi menggantikan Yusri Che Lah.

Bagaimanapun mereka tidak menggugurkan Yusri sebaliknya beliau telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad Liga Simpanan.

Sejak Teong Kim mengambil alih pasukan, Perak telah mengatur beberapa siri perlawanan persahabatan bertujuan untuk pengendali itu mengenal pasti pemain-pemain yang mampu menyesuaikan diri dengan falsafah dan taktikal yang akan digunakannya kelak.

Dalam perlawanan persahabatan tersebut, Teong Kim turut dilihat sedang menguji beberapa pemain baru yang berkemungkinan akan diserap ke dalam skuad untuk musim depan.

Pada masa sama, mereka juga sudah mula menandatangani pemain-pemain baru untuk memperkuatkan pasukan yang mana beberapa pemain sedia ada sudah pun menandatangani kontrak lanjutan seperti Sunday Afolabi dan Luciano Guaycochea.

Perak juga sudah menandatangani beberapa pemain baru seperti bekas penjaga gol Melaka United FC iaitu Bryan See, Raja Imran Shah (Sarawak United FC), Harith Naem (Melaka United FC) dan beberapa lagi.

Sehingga kini jika dilihat di laman sosial Facebook rasmi Perak, mereka sudah menandatangani sekurang-kurangnya 10 pemain dengan kebanyakannya adalah pemain muda dan perkara ini sudah dapat dijangka kerana Teong Kim sememangnya sinonim dalam membangunkan pemain muda.

Tidak terhenti di situ sahaja, mereka juga telah menganjurkan Kejohanan Piala Dato’ Seri Azim Zabidi yang sedang berlangsung ketika ini bagi mencari bakat-bakat muda yang berkemungkinan akan diserap ke dalam skuad Simpanan, Piala Presiden dan Piala Belia.

Pujian juga harus diberikan kepada dua orang kuat pasukan iaitu Pengerusi Perak FC, Dato’ Seri Abdul Azim dan Ketua Pegawai Eksekutif sementara, Bobie Farid Shamsudin yang bertungkus lumus untuk menaikkan semula kelab itu supaya menjadi salah sebuah kelab bola sepak terbaik bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar padang.

Dengan segala usaha yang sedang dilakukan ketika ini, tidak mustahil untuk melihat Perak kembali dengan status sebagai Gergasi Utara tidak lama lagi.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen