Bidoglio tidak kisah bertemu siapa di final, hanya ingin pemain berada di tahap terbaik 

265

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim FC, Hector Bidoglio tidak memilih mana-mana pasukan di antara Selangor FC dan Terengganu FC sebagai lawan mereka di perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini.

Bahkan, beliau hanya ingin pemainnya dapat terus mengekalkan momentum kecemelangan yang berjaya diraih oleh mereka pada ketika ini.


“Tidak penting Selangor atau Terengganu tapi yang penting pasukan JDT dapat bertambah baik,”

katanya kepada media.

 Beliau juga memasang impian untuk menebus kembali kekecewaan yang dialami oleh pasukan ini pada edisi terdahulu selepas tewas di tangan KL City FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021.

“Ini adalah peluang untuk membalas dendam dan kami memiliki peluang sekali lagi tahun ini.

90 minit akan menyajikan perlawanan yang sengit dan kami cuba untuk mengurangkan kesilapan serta bermain dengan cara kami bagi memenangi perlawanan akhir.”

Bidoglio juga berharap agar peluang ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh kesemua pemain bagi membolehkan mereka meraih gelaran keempat musim ini.

Terdahulu, JDT berjaya meraih tiga gelaran iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA serta yang terbaru, Liga Super.

“Perlawanan akhir akan menjadi pentas yang penting buat JDT dan kelab ini ada kemungkinan besar untuk menjadi lebih baik di masa depan.

Dapat mendakap empat trofi akan menjadi kejayaan yang besar buat kami musim ini.”

Pada masa yang sama, beliau juga menyampaikan penghargaannya kepada pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang telah memberikan peluang kepada beliau serta pasukan untuk membuktikan sesuatu.

Sokongan tanpa henti yang telah diberikan oleh TMJ terus berjaya menjulang JDT untuk berada di satu tahap yang jauh berbeza.

“Saya gembira hari ini dengan keputusan kerana pemain telah menunjukkan semangat yang tinggi sewaktu latihan dan juga di dalam perlawanan.

Saya juga gembira untuk TMJ kerana beliau telah memberikan segala-galanya untuk menyokong pasukan.”