P. Maniam mampu gilap bakat tempatan di Kelantan FC jadi pemain bintang

1,113

Pencarian ketua jurulatih untuk pasukan Kelantan FC bagi musim 2023 untuk menggantikan Rezal Zambery Yahya masih lagi berterusan sehingga ke hari ini walaupun sudah beberapa nama dikaitkan dengan pasukan itu.

Dalam satu temubual bersama Nadi Arena baru-baru ini, bekas pengendali PJ City FC, P. Maniam mengakui beliau sudah menerima tawaran daripada dua pasukan tetapi tidak menyembunyikan minatnya untuk mengendalikan Kelantan.


Dalam hantaran Facebook pula, pemilik Kelantan, Zamsaham mengakui beliau pernah mempertimbangkan untuk mengambil Maniam sebagai ketua jurulatih Kelantan.

Beliau juga berkata bahawa akan menghubungi jurulatih berusia 54 tahun itu untuk membincangkan mengenai potensi mengambil alih Kelantan.

Situasi ini boleh diibaratkan seperti ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ dan sekiranya benar-benar berlaku, ia adalah satu perkara positif buat kedua-dua pihak.

Berdasarkan ‘track record’ Maniam dalam membimbing PJ City daripada musim 2021, ini adalah satu perkembangan yang baik buat pemain-pemain tempatan di Kelantan.

Ini kerana, beliau berjaya memberi saingan kepada pasukan-pasukan besar Liga Super walaupun tanpa menggunakan pemain import dan tidak mempunyai bajet yang besar.

Kelantan mempunyai beberapa pemain tempatan yang dilihat mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh seperti Nurshamil Abd Ghani, Yusri Yuhasmadi, Fazrul Amir dan ramai lagi.

Kemasukan Maniam dilihat mampu mengembangkan lagi potensi mereka, lihat saja pemain-pemain yang menyerlah di bawah kendalian Maniam seperti Darren Lok, Ruventhiran Vengadesan, Kalamullah Al-Hafiz dan lain-lain.

Tidak mustahil musim depan, di bawah kendalian Maniam, lebih ramai pemain tempatan yang menyerlah bersama Kelantan.

Ini juga akan memberi lebih banyak pilihan pemain untuk pasukan kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon terutama untuk menghadapi Piala Asia Qatar akan datang.

Zamsaham sebelum ini juga pernah memberitahu bahawa beliau tidak akan berbelanja terlalu besar mengikut kemampuan pasukan, serta mengutamakan pemain-pemain muda.

Maniam dilihat adalah seorang calon yang sesuai kerana berjaya mengendalikan PJ City dengan baik tanpa bajet yang besar serta mempunyai pengalaman luas dalam menggilap bakat-bakat muda ketika mengendalikan skuad B-19 dan B-21 Selangor FC serta pasukan B-16 kebangsaan.

Jika Maniam menyertai Kelantan, beliau juga mungkin boleh menarik beberapa anak buahnya di PJ City seperti Kalamullah atau Ruventhiran untuk bersama-sama beliau.

Kalamullah juga merupakan pemain kelahiran Pasir Puteh, Kelantan, justeru peluang untuk berbakti di negeri kelahirannya mungkin boleh menarik minat pemain itu.