Ramai pemain dilaporkan ikut jejak Nafuzi Zain tinggalkan Terengganu, tugas berat buat pengganti teruskan momentum

1,553

Musim 2022 untuk Terengganu FC secara rasminya berakhir semalam selepas tersingkir pada Piala Malaysia dengan kekalahan 3-2 kepada Selangor FC secara agregat.

Perlawanan semalam juga merupakan perlawanan terakhir buat ketua jurulatih, Nafuzi Zain bersama pasukan itu selepas tujuh tahun menabur bakti.


Bukan sahaja Nafuzi, Faisal Halim dilaporkan sudah bersetuju untuk beralih angin ke kelab di Pantai Barat manakala beberapa pemain lain juga dikatakan bakal angkat kaki daripada pasukan antaranya penjaring terbanyak Piala Malaysia setakat ini, Kpah Sherman.

Selain itu, beberapa tonggak lain seperti Faizal halim, Manuel Ott, Pape Diakite dan Tchetche Kipre juga dikhabarkan akan meninggalkan pasukan Pantai Timur itu.

Apa yang dilakukan oleh Nafuzi selama lebih tiga musim menjadi ketua jurulatih dalam membentuk satu pasukan yang mantap nampaknya bakal berakhir begitu sahaja sekiranya ramai pemain sedia ada mengikut jejaknya.

Menurut laporan, tempat Nafuzi akan digantikan oleh pengarah teknikal, Tomislav Steinbruckner.

Musim depan, beliau pastinya akan menghadapi cabaran yang besar dalam memastikan Terengganu terus berada di kelompok pasukan Liga Super terbaik musim depan.

Di bahagian serangan terutamanya, beliau harus segera mencari pengganti yang layak menggantikan tempat Faisal, Kipre dan Sherman.

Beliau harus segera mencari pengganti serta membentuk skuad sedia ada untuk meneruskan momentum pada musim ini.

Pemain-pemain sedia ada yang jarang mendapat peluang sebelum ini harus mengambil peluang untuk merebut tempat dalam pasukan contohnya Hakimi Abdullah yang mempunyai potensi untuk menggantikan tugas penting Faisal di bahagian sayap.

Steinbruckner juga mungkin sudah boleh melihat pemain-pemain pasukan Melaka United FC dan Sarawak United FC yang berkualiti yang masih belum disambar pasukan lain untuk dibawa masuk.

Pemain seperti Sony Norde, Ifedayo Olusegun serta Uche Agba dilihat mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain import yang dikhabarkan ingin keluar.