Disiplin pemain dan penyokong Samurai Blue patut dicontohi, mentaliti waja berkelas dunia

171

Seperti yang semua sedia maklum, Jepun telah melakukan kejutan besar pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2022 Kumpulan E menentang Jerman.

Mereka berjaya memalukan juara dunia empat kali selepas melakukan ‘comeback’ pada minit akhir untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1 meskipun ketinggalan terlebih dahulu menerusi jaringan pemain tengah Jerman, Ilkay Gundogan menerusi sepakan penalti.


Ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu bijak menukar strategi dengan memasukkan beberapa pemain penyerang seperti Karou Mitoma dan Takuma Asano bagi mengubah formasi kepada 3-4-3 untuk mencari jaringan dan perkara tersebut berhasil.

Kejayaan ini dilihat lahir daripada disiplin permainan yang ditunjukkan oleh pemain dalam menjalankan peranan masing-masing di atas padang.untuk meraih kemenangan pertama kali dalam sejarah ke atas Jerman.

Tambahan pula, disiplin yang ditunjukkan ini bukan sahaja berakhir setakat 90 minit perlawanan malah turut dibawa ke bilik persalinan pasukan.

Tular sebuah gambar yang menunjukkan keadaan bilik persalinan Jepun yang kelihatan cukup bersih dan teratur selepas ditinggalkan oleh pasukan tersebut.

Mereka juga ada meninggalkan hasil seni tangan yang dipanggil origami berserta ucapan terima kasih yang turut diterjemah ke dalam bahasa Arab.

Tidak sekadar pemain pasukan, penyokong Samurai Blue juga mengejutkan bola sepak dunia selepas sekumpulan besar daripada mereka didapati bertungkus lumus mengemaskan stadium pada perlawanan pembukaan di antara Qatar dan Ecuador.

Berdasarkan video yang dikongsikan, dapat dilihat penyokong pasukan Jepun sama-sama mengerah keringat dalam mengutip segala sisa buangan yang ditinggalkan di dalam stadium selepas perlawanan berakhir.

Perkara yang sama dapat dilihat pada perlawanan semalam (23 November), kumpulan tersebut turut menjalankan tanggungjawab mengemaskan kawasan selepas meraikan kemenangan pasukan negara mereka.

Situasi-situasi ini perlu dijadikan contoh teladan terbaik buat negara Asia yang lain termasuk Malaysia dalam memastikan mentaliti kesemua pemain berada di tahap yang tertinggi di dalam dan luar padang.

Malah, ia juga perlu dicontohi oleh para peminat bola sepak Malaysia yang kadang kala boleh dianggap masih berada di satu tahap yang belum memuaskan.

Terbaru, aksi ganas serta provokasi melampau yang dilakukan oleh segelintir penyokong Terengganu pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia cukup mengecewakan dan perlu dicantas dengan segera sebelum makin melarat.

Untuk melihat pasukan berada di tahap yang lebih tinggi, penyokong dan peminat juga perlu sama-sama memainkan peranan dalam menunjukkan sikap yang lebih profesional dalam menjaga reputasi.

Besar harapan semua pihak untuk melihat pasukan kebangsaan Malaysia dan kelab-kelab dari negara ini untuk terus melangkah dengan lebih jauh.

Jadikan kejayaan Johor Darul Ta’zim serta KL City di saingan Asia serta pencapaian skuad negara mara ke Piala Asia tahun ini sebagai pembakar semangat untuk terus cemerlang di masa hadapan.

Ayuh Malaysiaku!