TMJ akui JDT pasukan ‘underdog’ untuk musim 2023, peluang pasukan lain tamatkan dominasi Harimau Selatan

1,384

Dominasi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Malaysia mencapai tahap kemuncak apabila memenangi Piala Malaysia Sabtu lalu, mencatat sejarah sebagai kelab tempatan pertama yang merekodkan empat kejuaraan dalam semusim.

Dengan sembilan kejuaraan Liga Super berturut-turut, termasuk tidak kalah dalam saingan domestik pada tahun ini, penguasaan JDT dilihat sukar digugat untuk beberapa musim akan datang.


Walaupun kejayaan demi kejayaan dilakar, pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim merasakan bahawa kelab itu akan menjadi pasukan underdog untuk musim depan.

Ini kerana, baginda memberitahu bahawa JDT tidak akan melaburkan wang, menurut laporan Flash Sukan.

Perkara ini sudah tentu mengukir sedikit senyuman dalam kalangan para pencabar liga yang sudah sekian lama mencuba untuk menamatkan dominasi JDT.

Inilah masanya untuk kelab-kelab lain cuba menghalang JDT daripada memenangi Liga Super buat kali kesepuluh berturut-turut.

Beberapa pasukan juga telah dilaporkan sedang aktif memperkuatkan pasukan untuk saingan musim depan.

Antaranya adalah Selangor FC yang dikatakan telah mengikat beberapa tonggak Harimau Malaya, namun menunggu masa untuk diumumkan secara rasmi.

Permainan yang ditunjukkan oleh kelab itu sejak berada di bawah ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe juga dilihat semakin meningkat dan hanya tewas dua kali sahaja iaitu kepada juara dan naib juara liga musim ini, JDT dan Terengganu FC.

Cuma untuk musim depan, kelab itu harus merekrut pemain import yang betul-betul mampu memberi sumbangan kepada kelab.

Jika Selangor mampu meneruskan momentum sejak Cheng Hoe mengambil alih pasukan, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka boleh menjadi pencabar terdekat JDT musim depan.

Selain itu, Sabah FC juga menunjukkan bahawa mereka sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang sebelah mata musim ini selepas berjaya menamatkan saingan liga di tangga ketiga.

Musim depan, Sabah akan bermain dalam saingan Piala AFC, justeru sudah pasti akan memperkuatkan pasukan sebelum musim baru bermula.

Dengan sentuhan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, Sabah sekali lagi dilihat mampu mencabar kedudukan tiga teratas musim depan.

Satu lagi pasukan yang berpotensi menjadi pencabar kepada kejuaraan liga adalah Kedah Darul Aman FC yang mengalami musim yang terumbang-ambing.

Walaupun belum rasmi, banyak laporan yang mengatakan ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain yang bakal tamat kontrak pada 30 November ini akan berhijrah ke Kedah musim depan.

Walaupun musim ini boleh dianggap musim yang gagal buat Kedah selepas dua musim berturut-turut menduduki tangga kedua Liga Super, dengan ‘magis’ Nafuzi, beliau mampu membawa Kedah kembali ke tahap yang sepatutnya.

Tambahan pula, Kedah juga dilaporkan akan memperkuatkan pasukan dengan beberapa nama besar.

Terdahulu, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata bahawa kelab itu akan mengekalkan semua pemain tempatan dan luar negara untuk musim 2023, manakala tiga pemain JDT II akan dinaikkan ke pasukan senior.

JDT juga akan merekrut tiga pemain import dan seorang pemain tempatan untuk memperkuatkan pasukan musim depan.