KPG reda pemain tolak panggilan Harimau Malaya, faham peraturan FIFA tak wajibkan pemain sertai

11,174

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak mahu merungut dengan ketiadaan ramai pemain tonggak pada panggilan kem kebangsaan untuk persediaan ke Piala AFF kali ini dan juga penarikan diri saat-saat akhir beberapa pemain.

Sebaliknya, beliau menerima keputusan pemain-pemain berkenaan dan berjanji akan melakukan yang terbaik dengan pemain-pemain yang ada ketika ini.


“Saya bekerja di sini, di Malaysia, jadi saya harus menyesuaikan diri dan menerima apa sahaja perubahan, saya tidak mahu merungut.

Lagipun perkara sebegini memang boleh berlaku kerana ia termaktub dalam undang-undang FIFA, saya terima segala keputusan dan kepada pemain-pemain yang sertai kami, kami berikan layanan yang baik kepada mereka dan cuba jadikan pasukan ini satu pasukan yang baik,”

katanya.

Melihat dari sudut positif, beliau berkata ini adalah peluang buatnya untuk melihat prestasi pemain-pemain lain secara lebih terperinci.

Untuk rekod, seramai 12 pemain yang rata-ratanya pemain utama telah menolak panggilan skuad kebangsaan sebelum ini atas sebab-sebab tertentu.

Hari ini pula, dua pemain KL City FC, Akram Mahinan dan Declan Lambert tidak melaporkan diri pada sesi latihan pertama atas urusan peribadi.

Menurut Pan-gon, seramai 17 orang pemain melapor diri pada hari ini dan baki pemain akan menyertai pasukan secara beransur-ansur.

Beliau juga berkata tidak akan memanggil pemain lain bagi menggantikan dua pemain tersebut kerana sudah mencukupi.

Tambahnya, beliau tidak akan menutup pintu buat kedua-dua pemain itu selepas ini jika mereka layak.

“Sudah tentu akan ada peluang lagi buat Declan dan Akram selepas ini dan kami akan terus menilai prestasi mereka.

Perpaduan merupakan salah satu nilai negara Malaysia jadi daripada kita pisahkan pemain-pemain, lebih baik kita bersatu.”

Katanya, beliau memantau lebih daripada 90 pemain dan membuka pintu kepada semua pemain yang layak menyertai skuad kebangsaan.

Beliau juga berterima kasih kepada pemain yang menyahut panggilan skuad kebangsaan kali ini dan berkata beliau serta barisan kejurulatihan akan membantu mereka buktikan kepada para peminat bahawa mereka adalah pemain yang baik.