Pemain Malaysia harus contohi pemain Jepun berani ke luar negara, nak maju harus belajar dari yang lebih baik

392

Kejayaan wakil Asia, Jepun mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 walaupun diletakkan dalam kumpulan E bersama-sama Sepanyol, Jerman dan Costa Rica mengejutkan ramai pihak.

Kejayaan menundukkan Jerman dan Sepanyol meletakkan pasukan itu di tangga pertama kumpulan, walaupun tiada siapa yang menyangka perkara itu.


Lebih-lebih lagi kejayaan dramatik menundukkan Sepanyol pada perlawanan akhir kumpulan, membuatkan Jerman sekali lagi terpaksa akur tersingkir di peringkat kumpulan buat dua edisi berturut-turut.

Jika dilihat dalam skuad Piala Dunia Jepun kali ini seramai lapan pemain sedang bermain dengan kelab Jerman di Bundesliga atau Bundesliga 2, lebih ramai daripada yang bermain di negara lain termasuk di Jepun.

Daripada keseluruhan 26 pemain, hanya tujuh pemain dalam skuad itu yang beraksi di Jepun, manakala yang lain semua bermain di Eropah.

Ketika menewaskan Jerman tempoh hari, seramai lima pemain yang bermain dengan kelab Jerman berada dalam kesebelasan utama.

Apa yang lebih menarik adalah, kesemua penjaring empat gol Jepun pada peringkat kumpulan ini adalah pemain-pemain yang bermain di Jerman iaitu Ritsu Doan (SC Freiburg), Ao Tanaka (Fortuna Dusseldorf) dan Takuma Asano (VfL Bochum).

Kejayaan Jepun menundukkan dua gergasi Eropah ini membuktikan bahawa keputusan yang diambil oleh kebanyakan pemain mereka menuntut ilmu di Eropah membuahkan hasil.

Mereka tidak takut untuk keluar daripada rumah sendiri untuk bersaing di Eropah walaupun kebanyakannya tidak bermain untuk kelab-kelab besar.

Ini yang perlu dijadikan contoh oleh pemain-pemain di negara ini supaya tidak berada di zon selesa terlalu lama dan keluar menimba ilmu di negara yang mempunyai tahap bola sepak yang lebih baik.

Ketika ini, terdapat beberapa pemain negara yang sedang berkelana di luar negara seperti Luqman Hakim di kelab Portugal, KV Kortrijk dan Hadi Fayyadh di kelab Jepun, Azul Claro Numazu.

Selain mereka berdua, ramai lagi pemain negara yang dilihat mempunyai potensi untuk bermain di luar negara.

Tidak semestinya hanya kelab di Eropah sahaja, bermain di liga-liga Asia lain seperti di Korea Selatan atau Jepun juga amat bagus kerana tahap bola sepak mereka jauh lebih baik dari kita.

Ao Tanaka sendiri yang bermain di Bundesliga 2 membuktikan bermain di liga kedua tetap menjadikan beliau seorang pemain berkualiti.

Harus diakui memang sukar untuk menempa nama di luar negara, namun sekiranya terus berada di zon selesa, sukar untuk pemain meningkatkan tahap permainannya.

Perkara itu telah dibuktikan oleh pasukan Jepun dalam Piala Dunia kali ini.

Mengambil inspirasi daripada kejayaan Jepun ini, diharapkan makin ramai pemain-pemain tempatan terutama pemain muda akan lebih berani untuk mengembangkan karier di luar negara.